Saturday, December 27, 2008

Duplikasi Skyline R-34

Duplikasi Skyline R-34

Skyline R-34 adalah model terbaik kereta Jepun. Harganya yang terlalu mahal, menyebabkan lahirnya jentera seperti GTS-T.




KERETA Nissan menerusi model Skyline R-34 adalah model yang cukup berjaya mengubah imej kereta sports Jepun yang satu ketika dahulu dianggap 'murah' dan tidak tahan lasak.

Model sentuhan asli pakar automotif Jepun itu boleh dianggap raja bagi mana-mana kereta sport GT Jepun yang dilengkapi dengan segala teknologi terbaik dari pengeluar Datsun itu satu ketika dahulu.

Model R-34 ini juga buat pertama kalinya diuji di litar Nurburgring, Jerman untuk membuktikan kepada media dunia bahawa kereta sports coupe ini mampu memberi saingan kepada kereta-kereta Dodge Amerika Syarikat dan sportster buatan Itali.


NISSAN SKULINE R-34 menjadi pengubat lara kepada mereka yang kurang mampu untuk memiliki sebuah Skyline GT-R.


Siri V-Spec GT-R misalnya dijual dengan harga kira-kira setengah juta ringgit di Malaysia ketika mula dibawa masuk sekitar tahun 2000. Kereta ini sendiri sememangnya mahal di Jepun, membuatkannya model yang sukar ditemui di jalan raya di sana.

Namun begitu, untuk membolehkan mereka yang kurang berkemampuan (tetapi kaya) memiliki model yang hampir sama, pihak Nissan telah memperkenalkan model GTS-T (juga ada seperti GTS, GS empat pintu dan berbagai lagi).

Model ini dipasangkan dengan enjin Neo 6 turbo berkapasiti 2.5 liter yang menggunakan asas daripada enjin RB25DET dalam pembinaannya.

Beza antara GTR dan GTS secara visual ialah reka bentuk luarannya yang menampilkan imej sporty yang berbeza. Model GT-R didatangkan dengan bumper hadapan besar, sepasang lampu kabus yang dicantumkan dengan isyarat membelok serta sepasang fender yang lebar.

Lampu belakang antara kedua model ini masih sama. Tetapi jika diteliti dari dekat, model GT-R dihasilkan dengan bentuk badan lebar di belakang bermula dari tiang badan C dan D.

Kereta yang dipaparkan kali ini adalah antara contoh binaan semula industri prestasi tinggi Jepun. Dibina oleh pihak BN Sports, kereta ini telah menjalani pengubahsuaian yang ekstensif terhadap nadi penggerak RB25DET tersebut dengan menempatkan sistem turbo Garret T450 tahap SPL.


LIANG-LIANG yang memberi ruang udara panas dari enjin untuk keluar.


Blok enjin ini menerima bahan bakar daripada enam penyuntik tambahan SARD yang masing-masing berkapasiti 550cc.

Boost berlebihan dikeluarkan menerusi wastegate Trust 88mm dan injap blow-off Greddy. Produk Greddy juga dilihat pada unit penapis udara yang menampilkan penapis udara Trust (Trust/Greddy adalah pengeluar yang sama).

Sistem kotak komputer enjin telah ditala semula dengan menggunakan ECU yang ditempah khas dari pihak NISMO. Pelarasan boost dijalankan oleh alat sokongan HKS Electronic Valve Controller (EVC)

Sistem ekzos kereta ini telah diperbaharui dengan memampatkan paip-paip stainless steel 304 HKS. Ia merupakan peralatan bolt-onyang didatangkan lengkap dengan peredam bunyi asal HKS, namun pihak BN Sports telah bertindak menukar peredam asal kepada peredam JIC.




Kotak gear lima kelajuan manual asal telah diperkuatkan dengan pelapik klac Nismo. Membezakan GTR dengan GTS ialah sistem pacuan empat roda HICAS BNC R-34 dan pacuan roda belakang konvensional LSD pada GT-S.

Sistem suspensi kereta ini telah diperbaharui dengan mengadunkan set suspensi lengkap upper pillowball mount camber berjenama JIC Magic. Brek-brek kini ialah brek 6 pot GTR di hadapan dan brek asal GTS (juga Brembo) di bahagian belakang.

Menemani ruang rodanya ialah rim-rim krom Volks Racing GT-AV berdiameter 19 inci yang disalutkan dengan tayar-tayar Goodyear Eagle bersaiz 245/35/19 di segenap sudut.

Bahagian dalaman kereta ini kelihatan agak ringkas dengan sepasang tempat duduk bucket penuh JIC yang ditemani stereng Momo sport 14 inci. Gugusan meter dalamannya telah dipertingkatkan dengan penggunaan meter RPM Auto Meter dan meter tambahan Greddy.

Bahagian luar Skyline ini masih mengekalkan keaslian asas GTS-T. Pihak BN Sports telah menempah bodykit custom dari pihak Gracer untuk mendapatkan kelainan pada model GTS-T yang pernah disolek oleh syarikat tersebut.

Bodykit agresif ini menampilkan sirip bonet, bumper hadapan, skirting sisi dan spoiler GT belakang. Langkah terakhir ialah melayangkan warna sparkling 3D Gold untuk menarik perhatian umum terhadap legenda kereta sport kelahiran Jepun ini.



source: kosmo online

No comments:

Post a Comment