Wednesday, April 15, 2009

KANSER USUS

Kanser usus boleh dicegah?
Oleh NURUL HALAWATI AZHARI



Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Wahid menjelaskan, kanser boleh ditangani jika ia dikesan awal dan belum merebak.



KANSER kolorektal yang juga dikenali sebagai kanser usus adalah penyakit kanser yang utama bagi orang lelaki dan ketiga paling banyak menyerang kaum wanita di negara ini.
Penyakit ini pula paling tinggi menyerang masyarakat Cina.


Setiap tahun di seluruh dunia, 655,000 kematian dilaporkan akibat kanser ini. Kanser usus menjadi kes kanser ketiga yang paling utama dan penyebab kematian kedua di Barat.


Di Asia, terutama di Jepun dan Singapura, jumlah kes kanser semakin meningkat dalam tempoh sedekad lalu.


Kanser usus juga telah mengambil alih kanser paru-paru sebagai kanser utama yang menyerang lelaki.


"Dahulu, kanser usus bukanlah sesuatu yang biasa di Jepun, Singapura atau negara Asia yang lain. Satu teori yang dikaitkan adalah diet mereka kini bertukar mengikut diet Barat.


"Mereka kurang makan makanan yang berserat, minum banyak alkohol dan daging.
"Saya tak mengatakan daging faktor penyebab kanser.


Tetapi tabiat pemakanan boleh jadi satu faktor. Diet memainkan peranan utama. Ini mungkin boleh menjelaskan kenapa insiden kanser kolon semakin meningkat di Malaysia, Singapura dan Jepun," menurut Presiden Persatuan Onkologi Malaysia, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Wahid.


ADA yang percaya kanser ini hanya menyerang lelaki tetapi pada hakikatnya ia juga menyerang wanita.


Kanser boleh sembuh kalau disedari lebih awal. Inilah mesej yang sentiasa diberi para doktor. Tetapi pesakit mungkin memerlukan beberapa jenis rawatan.


Menurut Mohamed Ibrahim, rawatan untuk kanser adalah sesuatu yang kompleks dan mencabar. Jika kanser usus disedari pada peringkat awal dan tidak merebak, ia boleh disembuh.
"Jika disedari pada peringkat lewat, peluang untuk sembuh adalah kurang cerah. Rawatan berlainan diperlukan bagi peringkat awal dan peringkat lanjut dengan kaedah yang berbeza, kami akan lihat berapa lama pesakit boleh hidup dalam masa lima tahun.


"Kita tak melihat kepada jangka hayat mereka tetapi bagaimana mereka meneruskan survival. Adakah mereka selesa atau sebaliknya," kata Mohamed Ibrahim.


Pakar onkologi perlu menilai beberapa aspek sebelum membuat keputusan tentang rawatan yang terbaik bagi pesakit. Pembedahan merupakan pilihan atau pilihan utama manakala kemoterapi atau radioterapi dicadangkan bergantung kepada keadaan pesakit dan faktor perubatan yang lain.


Terdapat pelbagai jenis penyakit kanser, begitu juga rawatannya.
Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terdengar tentang satu atau dua kaedah rawatan kanser tetapi doktor mungkin menggabungkan beberapa jenis terapi bukan sahaja untuk membuang kanser tersebut, juga untuk memastikan bahawa kanser tersebut tidak akan kembali.


Pakar Runding Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr. Christina Ng berkata, kemampuan doktor mengenalpasti sel kanser secara spesifik adalah satu penemuan yang luar biasa.


Ini membantu sel-sel tersebut menjadi 'sasaran' dan dilemahkan, lantas membantutkan pembesaran kanser itu.


Rawatan seperti ini adalah pencapaian yang signifikan jika dibandingkan dengan kaedah konvensional seperti kemoterapi yang membunuh semua sel yang ada.


"Rawatan ini diasaskan kepada pemahaman bahawa sel-sel kanser membesar lebih cepat daripada sel normal, jadi sel kanser akan binasa terlebih dahulu.


"Bagaimanapun ada sel lain yang membesar dengan cepat seperti sel usus, sum sum tulang, folikel rambut dan rahim. Ini juga akan binasa."


Sementara itu, terapi sasaran seperti Cetuximab hanya menyerang sel kanser. Cetuximab boleh melekat pada reseptor faktor pembesar epidermal (EGFR) dan menyekat sel kanser daripada menerima nutrien untuk pembesaran dan percambahan.


Ini menghalang tumor daripada menyerang tisu normal dan merebak kepada organ. Cetuximab sebenarnya membuat sel kanser 'kebuluran'. Sehubungan itu, kaedah terapi sasaran mempunyai kesan sampingan yang kurang. Menurut Global Cancer News, Cetuximab merupakan antibodi monoklonal yang boleh digunakan bagi rawatan kanser usus, leher dan kepala.


Cetuximab, yang mempunyai penanda bio prediktif adalah rawatan barisan hadapan bagi kanser kolorektal bermetastasis, membantu dalam pemilihan pesakit yang sesuai untuk terapi ini.
Penanda bio ini, dinamakan KRAS, adalah protein yang mengawal EGFR.


Menurut Daftar Majlis Barah Kebangsaan, terdapat beberapa situasi yang menimbulkan pelbagai persepsi terhadap kanser. Ada yang percaya kanser ini hanya menyerang lelaki tetapi pada hakikatnya ia juga menyerang wanita.


Adalah tidak benar kanser usus tidak boleh dihalang. Ini kerana amaran awal seperti kehadiran tanda dan gejala seperti polip boleh dibuang sebelum kanser tersebut membesar dan merebak.
Kebanyakan kes kanser usus di Malaysia melibatkan mereka yang berumur lebih 40 tahun.
Ia juga merupakan satu mitos bila dikatakan rawatan kanser membinasakan kedua-dua sel normal dan sel kanser.

Hakikatnya, doktor mempunyai opsyen rawatan seperti surgeri, radioterapi, kemoterapi dan terapi sasaran.


"Kesan sampingan seperti rasa mual dan muntah boleh dikawal.


"Ramai juga yang menjalani rawatan alternatif kerana mereka percaya rawatan alternatif boleh menyembuh barah. Tetapi mereka harus sedar bahawa kaedah rawatan kanser perlu melalui ujian yang intensif dan pembuktian secara saintifik sama ada mujarab atau sebaliknya.


"Sehingga kini, tiada ujian dan pengesahan berhubung keberkesanan perubatan alternatif dalam merawat kanser", tambah beliau. - Bernama


SOURCE: KOSMO ONLINE

Wednesday, April 8, 2009

TIBI

Tibi - Penyakit Berjangkit No.1

Penyakit yang dianggap antara yang tertua di dunia ini dilaporkan pertama kali dijumpai di dalam serpihan tulang belakang mumia Mesir sekitar tahun 460 Sebelum Masihi.

Hippocrates telah mengenal pasti tibi sebagai penyakit yang paling tersebar luas pada masa itu dan ia selalunya membawa maut.

Penyakit tibi muncul sebagai pembunuh nombor satu di Malaya di antara tahun 1945 hingga 1957.

Pada waktu itu, sebahagian besar katil-katil di hospital dipenuhi oleh pesakit berkenaan.

Sebelum ditemui penawar mujarab bagi wabak berkenaan yang turut melanda dunia ketika itu, pesakit tibi diasingkan di satu tempat terpencil 'sonatorium' bagi mengelak jangkitan berlaku.

Ubat yang diberikan kepada mereka hanyalah berupa makanan berkhasiat bagi membina ketahanan tubuh yang kuat.


Program kebangsaan Pencegahan Penyakit Tibi yang dilancarkan pada tahun 1961 telah berjaya mengurangkan kes-kes tibi. Penyakit yang berbahaya ini telah dianggap terkawal dan Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara dengan beban penyakit tibi sederhana.


Bagaimanapun, sejak tahun 1995, kes-kes baru tibi meningkat dari setahun ke setahun.

Kemuncaknya sebanyak 15,051 kes pada tahun 2000 berbanding 10,873 kes dalam tempoh sedekad.


Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr. Mohamed Naim Abdul Kadir berkata, penyakit tibi masih menjadi satu masalah kesihatan awam yang besar kepada negara.


"la merupakan sejenis penyakit berjangkit utama malah mendahului denggi yang lebih ditakuti oleh masyarakat," katanya yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk Pelancaran Hari Tibi Sedunia 2004 peringkat kebangsaan.


Tanggal 24 Mac pada setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Tibi Sedunia.

Bagi tahun ini, Setiap Nafas Adalah Bernilai - Hentikan Tibi Sekarang! dipilih sebagai tema sambutan.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, umumnya, satu pertiga daripada penduduk dunia dijangkiti oleh kuman tibi.

Ini bermakna, satu daripada setiap tiga orang rakyat Malaysia atau ahli keluarga atau rakan sekerja anda sedia mempunyai kuman penyakit ini di dalam badan mereka.


Dr. Mohamed Naim Abd. Kadir

Dr. Mohamed Naim berkata, kebanyakan individu yang dijangkiti tidak akan mendapat penyakit tibi kerana kuman-kuman tibi akan terpendam dan tidak aktif di dalam badan seseorang, mungkin sehingga ke akhir hayat.


"Kuman-kuman tibi menjadi aktif apabila sistem imunisasi gagal menghalang mereka daripada membiak di dalam badan.


"Sesetengah orang yang dijangkiti akan mendapat penyakit tibi sebaik sahaja dijangkiti iaitu sebelum sistem pertahanan badan mereka sempat melawan kuman-kuman tibi," katanya.


Bagi sesetengah individu lain pula, hanya akan jatuh sakit beberapa tahun kemudian apabila kuman yang dahulunya diam di dalam badan menerima isyarat daripada daya tahan badan yang lemah dan bertindak balas semula.


Beliau turut menarik perhatian tentang pertambahan kes-kes baru di dalam negara yang berpunca daripada kes-kes kekebalan ubat tibi yang kini semakin meningkat alirannya dari setahun ke setahun.


"Kes kekebalan ubat tibi berlaku apabila pesakit berhenti mengambil ubat antitibi sebelum masanya.


"Kes kekebalan ubat tibi yang tidak dirawat boleh menyebarkan kuman berbahaya ini kepada orang lain," katanya.


Kata Dr. Mohamed Naim, kuman berbahaya daripada kes ini adalah kebal kepada ubat antitibi yang biasa diberikan kepada pesakit tibi. Akibatnya, gabungan ubat-ubatan antitibi lain yang lebih kuat harus digunakan bagi kes berkenaan.


Hari Tibi Sedunia disambut sempena memperingati penemuan kuman tibi oleh Dr. Robert Koch yang pertama kali dibentangkannya pada 24 Mac 1884


Walaupun masih boleh disembuhkan tetapi rawatan bagi kes kekebalan ubat tibi mungkin mengambil masa yang lebih panjang.


Pesakit tibi jenis ini, tambahnya, akan menyebarkan kuman yang juga kebal ke dalam badan orang lain yang dijangkitinya.


Bagi memastikan para pesakit mengambil ubat secara teratur, fasa rawatan pemerhatian pesakit memakan ubat antitibi (DOT) secara intensif selama dua bulan telah dilaksanakan pada tahun 1999.


Setiap pesakit tibi mesti ke klinik untuk memakan ubat mereka di bawah penyeliaan seorang pengamal perubatan setiap hari.


Jika pesakit mengalami kesukaran untuk datang ke klinik disebabkan keuzuran atau masalah lain, pihak kesihatan akan melantik seorang penyelia dari kalangan ahli keluarga atau ketua kampung untuk memastikan pesakit mematuhi jadual pengambilan ubat seperti yang telah ditetapkan.


"Adalah penting bagi memastikan ubat antitibi sentiasa mencukupi dan tidak boleh terputus walau sekali. "Kepatuhan pesakit kepada rejim ubat-ubatan yang ditetapkan boleh menyembuhkan pesakit 100 peratus," katanya.


Kajian saintifik membuktikan, terapi penggabungan, biasanya empat jenis ubat, merupakan kaedah rawatan terbaik yang digunakan ini. Ia tidak akan menjangkiti orang lain lagi pada saat pesakit memulakan rawatan masing-masing.



Apakah Penyakit Tibi?


Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat.


La disebabkan oleh kuman mycobacterium bacillus yang diternui oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882 di Jerman, berwama merah, halus dan hanya boleh dilihat menggunakan mikroskop.


Dianggarkan 90 peratus daripada kuman tibi biasanya menyerang paru-paru atau dikenali sebagai tibi pulmonari.

Walau bagaimanapun, melalui peredaran darah, ia juga boleh merosakkan bahagian lain tubuh badan manusia seperti buah pinggang, kulit, mata, kelenjar leher, tulang,otak dan lain-lain.


Bagaimanakah tibi merebak?


Apabila pesakit tibi pulmonari aktif batuk, bersin atau bercakap, mereka akan mengeluarkan beribu-ribu kuman tibi daripada paru-paru atau kerongkong yang bertebaran di udara dalam bentuk titisan halus.


Sesiapa yang menyedut udara yang mengandungi kuman tibi yang terapung-apung itu seterusnya akan menghadapi risiko dijangkiti.

Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja pesakit tibi lazimnya paling berisiko untuk menghidapinya.


Apakah gejala-gejala tibi?


• Batuk berkahak melebihi dua minggu atau lebih

• Kahak berdarah


• Demam berpeluh pada waktu petang atau malam


• Mengalami sakit dada khususnya apabila batuk atau menghela nafas panjang


• Hilang selera makan


• Berat badan menyusut


• Mudah letih dan lemah badan.



Langkah pencegahan tibi


• Bayi-bayi yang baru lahir mestilah diberikan suntikan imunisasi BCG


• Dapatkan suntikan dos kedua sekiranya tiada bekas parut dan pada umur 12 tahun


• BCG diberikan percuma di semua hospital serta klinik kesihatan kerajaan untuk mereka yang berumur 20 tahun ke bawah


• Sekiranya batuk berterusan lebih daripada dua minggu, segeralah berjumpa doktor untuk menguji kahak anda


• Ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pesakit tibi dalam tempoh yang lama hendaklah tampil menjalani pemeriksaan.


Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan




• Penduduk miskin yang tinggal di desa mahupun di bandar-bandar


• Pembawa HIV

• Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, buah pinggang


• Pesakit yang mengambil ubat steroid dalam jangka waktu yang lama


• Warga tua.



Baqaimanakah caranya mendiagnos tibi?



• Jika mengalami batuk berpanjangan, anda hendaklah melakukan pemeriksaan sapuan kahak di bawah mikroskop bagi mengesan kehadiran kuman tibi. Ujian kahak boleh dilakukan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan berhampiran secara percuma.


• Pemeriksaan sinaran X dada juga boleh menunjukkan kerosakan yang mungkin berlaku pada paru-paru anda.


Rawatan tibi


Rawatan biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan walaupun pesakit berasa sihat dalam tempoh berkenaan.


Pada dua bulan pertama, rawatan harian akan diberikan, biasanya mengandungi sebanyak empat jenis ubat makan yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.


Perinkat rawatan seterusnya dilakukan dua kali seminggu selama empat bulan, biasanya melibatkan tiga jenis ubat, juga diambil di bawah penyeliaan. Jika rawatan ini diikuti secara tetap, pesakit berkenaan boleh disembuhkan.


Tip umum


• Sekiranya anda pesakit tibi yang sedang menjalani rawatan, anda hendaklah mendapatkan rawatan berterusan serta mematuhinya dengan sempurna sehinggalah semuanya selesai


• Rehat secukupnya


• Makan makanan seimbang


• Pastikan badan anda selalu kuat dan sihat supaya dapat menentang kuman-kuman tibi pada sepanjang masa.


• Jangan biarkan diri dikuasai oleh rokok kerana ia hanya memburukkan keadaan

• Banyakkan bersenam


• Buka pintu dan tingkap pada waktu siang untuk peredaran udara yang sempurna bagi mencegah kuman tibi merebak.


• Biarkan cahaya matahari memasuki rumah anda dengan banyaknya kerana ia berupaya membunuh kuman tibi yang terapung-apung di udara dan berselindung di sudut-sudut rumah


.• Elakkan daripada tinggal bersesak-sesak di dalam rumah yang sempit.


SOURCE: http://www.maptb.org.my