Thursday, September 25, 2008

SALAM AIDIL FITRI

Assalamualaikum…

Selamat Hari Raya

Sempena 1 Syahwal yang bakal menjelang ini. Saya menyusun sepuluh jari.. memohon maaf atas segala kelelanjuran sama ada sengaja atau tidak.. kepada semua pembaca blog ini dan rakan2 yg mengenali saya.

Selamat Hari Raya… Maaf Zahir & Batin


naza



Saturday, September 20, 2008

Dapatkan Kembali Run Yang Hilang

Dapatkan Kembali Run Yang Hilang



29 August, 2008 (00:00) | Virus/Malware | By: MK

Selain dari masalah Task Manager dihalang, Registry Editor dihalang, dan Hard Disk tak boleh dibuka dengan double click, virus juga selalunya akan menyembunyikan kotak Run. Apabila anda klik pada Start Menu, anda akan dapati program Run telah hilang. Shortcut Win+R pun tak dapat mengeluarkan kotak Run ini.


Untuk mendapatkannya kembali, caranya mudah sahaja. Ikuti langkah-langkah berikut:

  • Buka gpedit.msc dari “C:\WINDOWS\system32\gpedit.msc”
  • Pergi ke User Configuration > Administrative Templates > Start Menu & Toolbar.
  • Pada bahagian kanan, double-click pada Remove Run menu from Start Menu
  • Tetapkannya kepada Disabled dan tekan butang OK.


source: http://sembangkomputer.com

SUSU TERCEMAR

Ujian: Susu tercemar mengandungi bahan melamin


Kakitangan biro pengawasan kualiti pihak berkuasa tempatan membuang tepung susu yang tercemar dengan bahan melamin di tapak pembuangan di Shenzhen, wilayah Guangdong semalam. – Reuters


BEIJING 19 Sept – Hampir 10 peratus daripada contoh susu yang diambil daripada syarikat tenusu utama di China didapati tercemar kerana mengandungi bahan melamine, lapor sebuah badan pemerhati kualiti China.


Mereka melakukan ujian ke atas susu-susu tepung yang telah menyebabkan kematian ke atas empat orang bayi di negara ini.

Pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara itu, mendapati masalah pencemaran susu tersebut adalah lebih teruk berbanding masalah susu tepung basi yang telah menyebabkan beribu-ribu bayi mengalami masalah kesihatan.


Namun, para pegawai mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan susu adalah selamat untuk diminum, bagi mengembalikan keyakinan orang ramai yang sebelum ini merungut mengenai keselamatan makanan termasuk telur, daging babi dan makanan laut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Agensi Pentadbiran Umum untuk Pengawasan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin menyalahkan dua syarikat keluaran tenusu utama di China melalui kenyataan dalam laman web mereka (www.aqsiq.gov.cn).

Hampir satu persepuluh sampel susu-susu tepung dari Mengniu Dairy dan Inner Mongolia Yili Industrial Group Co Ltd. setelah diuji didapati mengandungi melamine, bahan yang diharamkan dalam makanan, kata agensi itu.

Penduduk China diselubungi ketakutan selepas Sanlu Group pada minggu lalu mendedahkan bahawa syarikat itu telah mengeluarkan dan menjual susu tepung yang mengandungi bahan melamine, dan berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati satu perlima daripada 109 syarikat pengeluar hasil tenusu di China menjual susu formula yang mengandungi bahan yang tercemar itu.


Mengikut angka terkini, seramai 6,244 kanak-kanak didapati menghadapi masalah kesihatan termasuk batu karang dalam buah pinggang selepas mereka minum susu yang mengandungi bahan melamin itu.


Sebanyak empat orang telah dilaporkan mati, manakala 158 lagi dilaporkan mengalami masalah kegagalan buah pinggang akut.

– Reuters


source: utusan online

Sunday, September 14, 2008

IBADAH KURANGKAN TEKANAN

Ibadah kurangkan tekanan


PEPERIKSAAN yang jatuh pada bulan puasa mungkin meningkatkan stres kepada ibu bapa dan pelajar, tetapi ia perlu ditangani dengan cara tersendiri. – Gambar hiasan.


TEKANAN atau stres hidup sudah menjadi lumrah kehidupan zaman moden, yang dihadapi oleh semua peringkat umur, tidak kira jantina, bangsa dan agama.


Bukan hanya golongan dewasa yang dilimpahi stres di tempat kerja, rumah, jalan raya dan pergaulan masyarakat, malahan kanak-kanak juga dibelenggu pelbagai punca stres.


Stres merupakan satu tindak balas fizikal (badan), emosi (perasaan) dan mental (fikiran) kepada peristiwa dalam kehidupan. Ianya berlaku apabila wujudnya kerisauan atau rasa tidak selesa terhadap sesuatu peristiwa.

Memandangkan stres boleh berlaku di mana sahaja, mengikut keadaan tertentu, cara mengatasinya menjadi keutamaan.


Sepanjang Ramadan ini, kita berpeluang mengurangkan stres sedia ada dan mengelakkan penambahan stres dengan pelbagai cara, terutamanya meningkatkan ibadah, banyak bersabar dan mengawal tingkah-laku diri.


Semua stres

Pegawai Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khairulnissa Abdul Kadir menegaskan, stres bukannya satu jenis penyakit tetapi adalah tindak balas diri terhadap sesuatu kejadian.

“Sebagai contoh, harga minyak naik tetapi gaji tidak naik, boleh menyebabkan seseorang itu stres.


“Kanak-kanak juga boleh mengalami stres seperti ketika ibu bapa tidak membenarkannya membeli mainan,” katanya.

Menurutnya, semua orang mengalami stres tertentu tetapi tahap stres berbeza mengikut individu.

Tambahnya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berakhir Khamis lalu mungkin memberi tekanan kepada ibu bapa yang risau anak tidak larat menghadapi peperiksaan, dan pelajar pula mungkin stres menghadapi peperiksaan ketika bulan puasa.


Pada bulan Ramadan, stres sepatutnya berkurangan berbanding hari-hari biasa dengan peningkatan amalan beribadat, seperti solat tarawih, yang secara rohaninya dapat memberi ketenangan diri.


Namun, tiba pula musim perayaan, stres mungkin kembali meningkat seiring dengan pelbagai permintaan dan keperluan raya, terutamanya membeli keperluan raya (yang kadang-kala kurang perlu) dan semestinya duit raya untuk kanak-kanak (atau mereka yang fikir diri masih muda).

Khairulnissa menjelaskan tanda stres sepatutnya mudah dikesan, terutamanya oleh rakan yang rapat atau pasangan hidup.


‘‘Mereka yang tertekan biasanya kurang selera makan, kurang atau lebih tidur, letih atau lesu, perubahan tingkah laku dan kurang minat melalui aktiviti harian.

‘‘Bagaimanapun, tanda-tanda ini tidak hadir pada semua individu yang tertekan dan berbeza-beza mengikut individu terbabit,” ujarnya.


Mencari punca

Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kita perlu mengetahui apa masalahnya dan apa puncanya terlebih dahulu. Oleh itu, untuk menangani stres, puncanya juga perlu dikupas dan difahami sebelum kaedah sesuai dapat ditentukan untuk mengatasinya.

Menurut Khairulnissa, antara punca stres adalah diri sendiri iaitu personaliti individu kerana ada sesetengah orang yang lebih mudah stres berbanding orang lain.

“Individu yang berperwatakan serius lebih mudah stres berbanding mereka yang ‘sambil lewa’ (happy go lucky).


“Oleh itu, personaliti diri perlu dikenali terlebih dahulu untuk menilai punca stres, terutamanya untuk mereka yang mempunyai masalah personaliti atau rendah harga diri,” jelasnya.

Katanya, stres juga mungkin datang dari punca luar seperti masalah rumah tangga, jiran kurang ‘berhemah’ dan pekerjaan.

Khairulnissa menjelaskan tempoh waktu bekerja yang lebih lama dari masa yang dihabiskan dengan keluarga mungkin meningkatkan tahap stres seseorang.


“Di bulan puasa dan menghampiri Hari Raya Aidilfitri ini, berjauhan dengan keluarga mungkin menyebabkan ramai yang stres kerana merindui orang tersayang.

“Stres juga boleh berlaku akibat kesesakan lalu lintas, kesukaran pulang ke kampung atau punca biologi seperti pesakit yang menghidap kanser,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pesakit (tidak kira apa jua penyakit) akan mengalami stres fizikal dan mental disebabkan penyakit itu, sementara keluarga pesakit pula akan mengalami stres kerana bimbangkan kesihatan orang tersayang.


Bagaimanapun, punca utama stres seringkali berkait rapat dengan duit dan kestabilan kewangan seseorang, terutamanya pada musim perayaan.


Menangani stres

Bukan hanya tahap dan tanda stres berbeza mengikut individu, malahan cara untuk mengatasinya juga berbeza mengikut kecenderungan individu terbabit.

Sesuatu yang agak pelik atau biasa bagi orang lain mungkin menjadi penawar bagi sesetengah individu mengatasi stres.

Khairulnissa menjelaskan tindak balas individu terhadap stres amat penting dan menjadi keutamaan bagi mengelakkan stres bertambah sehingga tidak dapat dikawal lagi.

“Teknik untuk mengawal stres berlainan mengikut individu, tetapi perlu ditangani secara positif. Pemikiran positif membolehkan kita melihat situasi dari sudut yang positif walaupun ia berbentuk atau bersifat negatif.


“Jangan dibiarkan stres terkumpul terlalu banyak kerana ia boleh membawa kepada kebimbangan (anxiety), dan seterusnya mungkin membawa kepada kemurungan,” tegasnya.

Menurutnya, jika stres dibiarkan mencapai tahap kemurungan, keadaan lebih sukar untuk dibantu dan mungkin memerlukan pengambilan ubat atau rawatan khas.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia juga mempunyai modul pengurusan stres tersendiri dengan ujian soal selidik (DASS) dan ujian personaliti untuk menentukan stres, kebimbangan dan kemurungan.


Selain itu, terdapat juga modul dari Kementerian Kesihatan bagi melatih remaja berfikiran positif, dan mengatasi tekanan rakan sebaya (peer pressure), terutamanya dalam mengikut aktiviti negatif seperti ponteng sekolah atau merokok.

Khairulnissa menjelaskan ketegasan diri juga bagus untuk menangani atau mengelakkan tekanan rakan sebaya yang negatif.

“Orang yang tegas diri, lebih tenang dan dapat mengawal stres dengan baik. Individu yang mempunyai ketegasan diri juga tidak akan mencabar hak orang lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kemahiran komunikasi antara individu juga perlu dikuasai supaya sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan secara positif.


Pada waktu tekanan hidup memuncak, jaringan sosial dan peranan rakan yang rapat dan pasangan hidup amat penting.

Sekurang-kurangnya menjadi tempat meluahkan perasaan, rakan atau pasangan hidup dapat membantu seseorang mengurangkan stres.


Khairulnissa menyarankan mereka yang mengalami tekanan perlu berbincang atau berkongsi masalah dengan seseorang yang rapat dengan mereka.

“Rakan atau pasangan menjadi tempat yang baik untuk meluahkan perasaan tetapi jangan pula mereka, atau mana-mana pihak, dijadikan tempat melepaskan stres (geram) anda.

“Rakan dan pasangan juga dinasihatkan memberi sokongan pada waktu tekanan memuncak dalam hidup seseorang. Jangan pula menjadi penambah stres orang lain yang sudah cukup tertekan,” tegasnya.


Menurutnya, individu yang stres juga boleh mengurangkan tekanan dengan menonton televisyen (TV) atau mendengar radio.

Tambahnya, TV dan radio merupakan satu jaringan hubungan atau medium komunikasi yang memaklumkan kejadian di luar dan ini dapat membantu mengurangkan stres bagi sesetengah individu.

Bulan Ramadan dapat menenangkan hati dan minda selain perut kita. Dengan meningkatkan ibadat seperti solat sunat, tekanan dapat dikurangkan dan masalah yang dihadapi dapat dilupakan untuk seketika.


Khairulnissa bagaimanapun menegaskan ketenangan Ramadan tidak boleh dijadikan alasan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi, bagi mengelakkannya berpanjangan.

“Sebagai contoh, jika menghadapi masalah untuk balik beraya di kampung sendiri atau pasangan, eloklah dibincangkan daripada dibiar berpanjangan.

“Namun tidak dapat dinafikan, ibadah (agama apa sekalipun), bagus untuk menangani stres,” ujarnya.


Stres yang positif

Stres juga ada manfaatnya dan dalam keadaan tertentu menjadi satu keperluan. Hormon adrenalina yang dibebaskan ketika dalam keadaan tertekan bukan sahaja mempercepatkan denyutan jantung tetapi turut meningkatkan kepekaan deria badan.

Khairulnissa menjelaskan, pembebasan hormon tersebut turut meningkatkan prestasi badan, menjadikan kita lebih cergas dan pantas.


“Jika diambil secara positif, stres ada juga baiknya. Stres yang meningkatkan prestasi badan mungkin dapat memberi motivasi untuk bekerja lebih keras, terutamanya untuk ahli sukan yang perlu ‘pergi lebih pantas’ atau berucap di khalayak ramai.

“Namun, terlalu banyak stres dan hormon adrenalina juga tidak baik kepada badan. Jika tidak dapat dikawal, perkara yang positif ini akan menjadi negatif dan akan meninggalkan kesan jangka panjang kepada badan,” katanya.


Tahap, tanda dan cara menangani stres berbeza mengikut individu. Terpulang kepada individu itu sendiri dan orang di sekitarnya untuk mengenal pasti stres yang dihadapi, dan memilih untuk mengatasinya dengan cara yang positif.

Ramadan membawa ketenangan, tetapi tidak menghilangkan stres sepenuhnya. Amati cara terbaik untuk diri anda menangani stres, bukan sahaja ketika berpuasa, malahan bila sahaja stres melanda.


Anda masih stres? Jika anda masih tidak dapat mengawal stres diri dengan berkesan atau stres anda berpanjangan, sila hubungi doktor atau kakitangan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan berdekatan. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.myhealty. gov.my, www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my.


source: utusan online

Saturday, September 13, 2008

ELAK KERETA MERAGAM

Elak kereta meragam


JANGAN lupa untuk membuat pemeriksaan kenderaan sebelum balik beraya di kampung.


Balik kampung adalah rutin warga kota setiap kali menjelang musim perayaan. Selain pengangkutan awam, kenderaan persendirian merupakan pilihan utama bagi majoriti mereka yang tinggal di kota-kota besar.


Jadi sempena menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma dua minggu sahaja lagi, jom kita lihat serba sedikit tip yang mungkin berguna sebagai persediaan sebelum memandu pulang ke kampung halaman.

Anda tentu sahaja tidak mahu tersangkut di tengah perjalanan ketika orang lain sedang bersemangat untuk pulang ke pangkuan ibu dan ayah di kampung. Ramai orang akan memberi kepercayaan kepada mekanik untuk memeriksa kenderaan mereka.



PERALATAN kecil seperti lampu suluh dan segitiga kecemasan amat perlu ketika kereta mengalami masalah.


Namun begitu, mekanik lazimnya lebih memberi perhatian kepada perkara yang bersifat fizikal dan visual. Selain servis pelinciran dan kotak gear, bahagian lain yang lazimnya diperiksa ialah cecair bateri, brek dan juga tekanan tayar.

Dalam banyak situasi, ramai yang terlepas pandang bahagian yang tidak kurang pentingnya. Ia mungkin tidak menyebabkan anda tersangkut di tengah perjalanan, tetapi menyusah, melambat atau membahayakan perjalanan itu sendiri.

Berikut adalah beberapa peringatan yang mungkin berguna untuk kita semua.



Lampu

Jarang yang memeriksa keadaan lampu kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Periksa semua posisi lampu supaya berfungsi dalam keadaan yang baik.

Ia bukan sekadar lampu hadapan/utama, isyarat membelok dan brek. Lampu yang anda jarang gunakan seperti lampu undur, lampu kecemasan, lampu kabus (jika ada), bahkan lampu nombor pendaftaran kenderaan.


Pengelap cermin

Amat berguna ketika hujan. Pastikan pengelap cermin anda berfungsi dengan baik. Jika durasi penggunaannya telah terlalu lama, lebih baik tukarkannya kepada yang baru.

Jangka hayat terbaik adalah sekitar enam bulan. Adalah lebih baik menukar pengelap dengan kerap berbanding pengelap mahal untuk jangka masa yang lama.


PASTIKAN lampu utama kenderaan dapat berfungsi dengan baik.


Cuaca tropika mengehadkan jangka guna pengelap. Walaupun getah/silikon pengelap nampak masih elok, ia sebenarnya mungkin telah keras dan memerangkap kotoran seperti debu dan pasir.

Secara tidak langsung ia akan merosakkan cermin hadapan, akan lebih menyukarkan pemandangan apabila pengelap calar (wiper scratch) ini menjadi semakin teruk.


Pemanas cermin

Pemanas cermin perlulah dalam keadaan baik. Terutamanya bagi kereta sedan yang tidak mempunyai pengelap cermin belakang. Pemandangan anda akan terhalang sekiranya memandu dalam hujan lebat dengan pemanas belakang yang tidak berfungsi.

Ketika hujan lebat, cermin sisi kenderaan (lazimnya tanpa pemanas) akan mengehadkan pandangan belakang kerana titisan hujan dan jarak pandangan kabur antara mata dan juga cermin kenderaan.

Tayar ganti/peralatan

Ramai orang memeriksa tayar kenderaan sebelum perjalanan, tetapi ramai juga yang terlupa untuk memeriksa keadaan tayar ganti. Seperti biasa, tayar ganti ini perlulah dalam keadaan baik dan juga cukup tekanan anginnya.

Untuk tayar ganti bersaiz penuh, tidak perlu khuatir kerana jarak perjalanannya sama dengan tayar biasa, namun bagi tayar ganti bersaiz kecil, ia mempunyai had yang tertentu.


TIDAK ada gunanya jika anda hanya mempunyai tayar ganti tetapi alat pemasangnya tiada di dalam kereta.


Jadi jika anda terpaksa menggunakan tayar ini, pastikan kelajuan dan jarak perjalanan dipatuhi. Sekiranya terpaksa menggunakan tayar ganti dalam keadaan kecemasan, amalkan untuk terus ke kedai tayar berhampiran untuk memastikan anda mengganti/menampal tayar yang rosak/bocor.

Selain itu, pastikan alatan untuk membuka tayar mencukupi. Tidak guna mempunyai tayar ganti tetapi anda tiada alat untuk memasangnya.

Alat-alat seperti sepana pembuka tayar atau sepana T dan jek perlulah dalam keadaan baik dan berfungsi sepenuhnya. Jika ia tidak digunakan dalam tempoh yang lama, ada baiknya meletakkan sedikit gris atau menyembur bahan anti karat pada bahagian bunga (thread) supaya jek tersebut senang digunakan.


Peralatan tambahan

Perjalanan yang sempurna harus bermula dengan peralatan yang lengkap. Selain daripada pemeriksaan terhadap komponen asal kenderaan seperti yang disebutkan di atas, anda boleh mengambil inisiatif sendiri membawa peralatan yang berguna sewaktu perjalanan.

Ia termasuklah pemadam api bersaiz kecil, kotak perkakasan pembaikan yang ringkas, lampu suluh, segitiga kecemasan dan juga kotak bantuan kecemasan (first aid kit).


SOURCE: http://www.kosmo.com.my

Friday, September 12, 2008

TAUHU KERING DI RAMPAS

Tauhu kering ‘kilang jijik’ dirampas


SEORANG anggota penguat kuasa menunjukkan tauhu kering yang dirampas dari sebuah kedai di Cheras Utama semalam.


KAJANG – Sebanyak 11 bungkusan tauhu kering yang dipercayai hasil sebuah ‘kilang jijik’ dirampas daripada sebuah kedai di Cheras Utama oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam.


Rampasan itu dibuat ekoran bungkusan tauhu itu menggunakan logo halal yang sudah tamat tempoh iaitu sejak 2003.

Menurut sumber kementerian, rampasan dibuat untuk mendapatkan bukti supaya tindakan boleh diambil terhadap pengeluar makanan tersebut yang didapati menyalahgunakan logo halal.

Bagaimanapun tiada tindakan dikenakan kepada pemilik kedai berkenaan kerana sanggup memberi kerjasama.


“Disebabkan penjual memberi kerjasama, tindakan tidak diambil dan berdasarkan maklumat daripada bungkusan tauhu kering itu kita pergi semula ke kilang terbabit untuk memastikan ia dikeluarkan oleh kilang itu,’’ jelasnya kepada Kosmo! semalam.


Kosmo! turut melakukan tinjauan semula ke kilang terbabit dan mendapati operasinya sudah dihentikan sementara beberapa pekerja melakukan kerja pembersihan premis.

Kelmarin Kosmo! mendedahkan aktiviti ‘kilang jijik’ yang didapati memproses produk makanan dalam persekitaran kotor serta menggunakan logo halal yang sudah tamat tempoh.


source: kosmo online

Thursday, September 11, 2008

ELAKKAN VIRUS

Buka Folder Dan Drive Dengan Selamat, Elakkan Virus!

1 February, 2008 (22:04) | Tips Windows, Virus/Malware | Oleh: MK


Cara paling mudah (dan paling popular) untuk menyebarkan virus sekarang ini adalah melalui USB drive, terutamanya di kolej dan universiti di mana pelajar menggunakan USB drive untuk menyalin segala macam fail. Bagi yang berhati-hati, mereka akan memeriksa dahulu USB drive tersebut dengan menggunakan anti-virus.


Saya bukan orang yag leceh. Biasanya saya tidak memeriksa USB drive ini dengan AntiVirus. Malah AntiVirus pun saya tak pasang di dalam komputer saya. Namun komputer saya jarang dijangkiti virus atau malware kerana saya mempraktikkan beberapa amalan berikut:


Pertama. Tunjukkan fail tersembunyi dalam Windows (show hidden files and folders). Langkah-langkah untuk menunjukkan fail tersembunyi ada di sini. Walaupun mungkin nampak agak bersepah setelah anda menunjukkan fail-fail tersebut, namun ianya penting supaya anda akan cepat perasan jika terdapat apa-apa virus atau malware yang mencurigakan.

Kedua. Jangan menggunakan autorun. Apabila ada cucuk USB Drive pada komputer, biasanya Autorun akan dimainkan untuk membuka USB Drive secara automatik. Jangan gunakan autorun ini, kerana biasanya Virus mengeksploitasi cara ini untuk melancarkan dirinya.


Ketiga. Navigasi Windows Explorer dengan menggunakan bahagian di sebelah kiri. Buka Windows Explorer dengan menekan Windows + E. Jika anda ingin membuka mana-mana drive, gunakan navigasi di sebelah kiti. Dwi-klik/klik kiri/klik dan Open/Explore kanan pada drive kini sudah tidak selamat lagi kerana selalu digunakan untuk melancarkan virus dan malware.

Amalkan ketiga-ketiga cara ini bagi gaya hidup komputer yang sihat ^^. Jangan lupa pasang Antivirus ya.


source: http://sembangkomputer.com

Monday, September 8, 2008

SONY ERICSSON K850I

Untuk pencinta foto




TELEFON bimbit Cyber-shot K850i ini direka bagi pengguna telefon berkamera yang benar=benar serius mengenai hasil rakaman foto mereka. Mempunyai resolusi lima megapiksel, K850i membolehkan anda mengambil gambar momen-momen indah dengan menggunakan spektrum imej berasaskan fungsi yang biasanya hanya didapati pada kamera digital.


Sebagai telefon bimbit berkamera, ia tentunya menyajikan anda satu kemudahan mudah alih, sementelah ia mampu merakamkan momen spontan dengan mudah. Bagi pengguna permulaan, masalah-masalah biasa seperti tertekan shutter pada masa yang salah dan pergerakan yang kabur mungkin dapat dielakkan jika menggunakan telefon ini.


BestPic Technology membantu anda mendapatkan foto terbaik dalam satu momen dengan memberikan anda sembilan pilihan. Sementara itu, penstabilan imej bina dalam dan fokus auto memastikan gambar yang diambil lebih jelas. Jikapun anda seorang jurugambar mapan, K850i masih lagi relevan untuk anda. Menerusi antara muka mudah digunakan, anda boleh menyelaraskan kawalan-kawalan kreatif yang lain seperti sensitiviti cahaya, keseimbangan cahaya putih dan kawalan flash.


Dengan kemudahan Photo fix, perincian pada foto yang anda rakamkan dapat dikembalikan semula dan PhotoDJ membolehkan anda melakukan suntingan dalam telefon bimbit untuk ekspresi lebih hebat.


Skrin 2.2 incinya kalis calar dan paparan Crystal Bright akan membolehkan anda berkongsi foto-foto anda pada sudut tontonan yang lebih baik. Tambahan pula, jika anda cenderung untuk gambar anda dikongsi secara mod landskap, anda hanya perlu memutarkan telefon bimbit anda daripada orientasi potret kepada landskap.


Bersama-sama dengan fungsi Xenon flash, anda berupaya merakamkan gambar yang lebih sempurna.

Pada K850i juga terdapat kekunci sentuhan lembut. Kekunci-kekunci ini merupakan kawasan sensitif sentuhan pada bawah skrin telefon. Ia memudahkan anda melakukan navigasi dan menggunakan telefon. Kekunci lembut ini membolehkan anda mengakses dengan lebih cepat kepada fungsi kamera apabila telefon sedang berada dalam mod kamera.


K850i dilengkapi dengan sokongan memori luar Memory Stick Micro dan SanDisk micro SD/Transflash. Ia terdapat dalam dua varian jaluran sisi iaitu hijau luminous atau biru velvet.


source: http://www.kosmo.com.my

Thursday, September 4, 2008

LANCER EVOLUTION X

Lancer Evolution X agresif


Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


BERDASARKAN permintaan daripada peminat jentera berprestasi tinggi, Mitsubishi Motors Malaysia 'menghadiahkan' buah tangan terbarunya, Lancer Evolution X

Mitsubishi Evolution X adalah siri Lancer ke-10 yang mendapat sambutan hebat di seluruh dunia.

Selain itu, bentuk 'meruncing' pada bahagian hadapan umpama jet pejuang menyerlahkan lagi ciri sporty jentera berkenaan.

Model terbaru itu dijana enjin ringan 4B11 2.0 liter berkuasa turbo dengan teknologi MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve-Timing Electronic Control) Twin Scroll Turbocharged paling berkuasa dalam kelasnya.

Ia mampu menghamburkan sehingga 291 kuasa kuda pada 6,500 rpm dan tork 366Nm serendah 3,500 rpm.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keizo Ono peningkatan kuasa jentera berkenaan disebabkan penggunaan blok aluminium yang lebih ringan dan tahan lasak.

"Dengan sejarah selama tiga dekad dalam arena perlumbaan, siri Evolution menjadi simbol kepada pembangunan teknologi Mitsubishi dalam dunia permotoran.

"Malah, Evolution X adalah model pertama dilengkapi kotak gear 'Twin Clutch SST' yang membolehkan penukaran gear automatik dilakukan secara manual," katanya.

Selain itu, jentera itu turut mendapat pengiktirafan tahap keselamatan tertinggi selain keluasan ruang kabin yang optimum.

Evolution X digambarkan sebagai sebuah kenderaan lumba yang membolehkan pemanduan di jalan biasa atau litar lumba tanpa perlu melakukan pengubahsuaian.

Antara ciri standard pada ahli keluarga Lancer terbaru itu adalah suspensi terbaru dengan sistem brek daripada Brembo, spring Eibach bersama penyerap hentak Bilstein, rim aloi 18 inci daripada BBS, lampu depan berteknologi HID, bumbung suria dan spoiler yang lebih lebar.

Ruang dalaman pula dihiasi dengan kerusi Recaro bagi pemandu dan penumpang hadapan; stereng bersalut kulit dengan kawalan audio dan kelajuan; paparan meter pelbagai fungsi, tujuh beg udara dan sistem audio bertenaga daripada Rockford Fosgate Premium.

Selain itu, Evolution X juga dilengkapi S-AWC (Super All Wheel Control), ACD (Active Centre Differential), AYC (Active Yaw Control), ASC (Active Stability Control) dan Sport ABS (Sport Anti-lock Brake System).

Dengan harga sekitar RM315,436.10 (tanpa insurans), Mitsubishi mensasarkan menjual 50 unit Lancer Evolution X sehingga akhir tahun ini.

Tiga warna ditawarkan iaitu merah metalik, hitam pearl phantom dan putih.


source: http://www.hmetro.com.my

Monday, September 1, 2008

JODOH

‘Carikan jodoh’

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Anak-anak sepatutnya bukan saja menggalakkan ayah mereka yang kehilangan isteri berkahwin lain, malah perlu mencarikan jodoh untuk mereka.


Ketua Hal Ehwal Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Mastura Badzis, berkata tanggapan segelintir masyarakat yang memandang serong warga emas yang berkahwin semula, perlu diubah kerana golongan itu masih memerlukan kasih sayang dan belaian seorang isteri.

“Mengikut agama Islam, anak-anak digalakkan mencari jodoh untuk ayah mereka selepas kehilangan ibu bagi menemani dan menguruskan kehidupannya dan menjadi fitrah mana-mana lelaki pun perlukan belaian seorang wanita.


“Oleh itu, persepsi serong masyarakat yang mengatakan orang tua hanya perlu menghabiskan usia mereka di masjid atau sebagainya adalah tidak tepat. Malah, apabila mempunyai isteri, lebih baik lagi kerana boleh mengajak pasangan mereka bersama-sama beribadat,” katanya ketika dihubungi, semalam.Semalam, muka depan Metro Ahad melaporkan mengenai kecenderungan masyarakat yang menafsirkan golongan terbabit mereka miang, buang tabiat dan tak sedar diri apabila ingin kembali bercinta atau menyuarakan hasrat berkahwin.


Tanggapan negatif itu menimbulkan tekanan kepada golongan terbabit sehingga ada yang gagal mengawal nafsu lalu terjebak dalam jenayah seksual, termasuk sumbang mahram.

Pakar Perubatan Sakit Tuan, Dr Mohd Ismail Tambi, dipetik berkata, masyarakat perlu segera mengubah persepsi itu bagi mewujudkan persekitaran hidup lebih selesa kepada golongan warga emas, sekali gus mengurangkan kes jenayah seksual.


Dr Mohd Ismail berkata, nafsu ialah satu keperluan, sama ada pada mereka yang dikategorikan warga emas atau golongan muda.

“Bahaya jika nafsu dipendam kerana ia boleh menyebabkan berlaku sumbang mahram,” katanya.

Apabila isteri sudah tiada, lelaki warga emas mungkin mencari cara lain untuk melepaskan nafsu,” katanya.



source: harian metro online