Monday, June 16, 2008

WEB

Sukarkah mencipta laman web sendiri?


Bolehkah seseorang itu mencipta laman web sendiri sedangkan dia tidak pernah mengikut sebarang kursus komputer ataupun yang berkaitan dunia teknologi maklumat?

Jawapannya, kenapa pulak tidak boleh? Bagi saya, membuat laman web sendiri bukanlah sesuatu yang susah sangat. Saya berkata ia senang bukan kerana saya sudah biasa dengannya atau kerana sudah bertahun-tahun bergelumang dengan komputer, tetapi saya fikir ia seharusnya mudah kepada sesiapapun, walaupun kepada seorang kerani cabuk.

Jika anda tahu menggunakan komputer dan tahu menaip menggunakan apa-apa aplikasi di dalam Windows, itu sudah kira memadai untuk memulakan sebuah laman web persendirian.

Sebenarnya membuat laman web adalah semudah anda menaip di dalam Word. Perkara paling asas yang anda perlukan untuk mula menaipkan laman web anda ialah perisian yang sesuai.

Jika anda memasang perisian pelayar Internet Explorer versi 4.0 atau ke atas di dalam komputer, cuba anda perhatikan, bahawa terdapat satu perisian akan turut dipasang sama. Perisian itu ialah Frontpage Express, dengan ikon berwarna merah. Manakala jika anda memasang perisian pelayar Netscape Communicator versi 4.0 atau ke atas, anda akan diberikan perisian Netscape Composer.

Salah satu daripada dua perisian percuma ini sudah cukup untuk anda memulakan kerja anda. Taiplah macam biasa. Untuk masukkan gambar, klik pada menu yang sesuai dan anda akan diminta browse ke dalam cakera keras untuk mencari fail gambar tersebut. Akhir sekali simpan dokumen yang anda taip itu sebagai fail dengan sambungan *.htm atau *.html (tiada beza antara kedua-duanya).

Ini akan membolehkan dokumen yang anda taipkan itu disimpan sebagai sebuah fail HTML (Hyper Text Marked-up Language), iaitu format fail yang diperlukan di dalam Internet. Fail pertama laman web anda bolehlah dijadikan laman utama atau pintu masuk kepada laman-laman lain di dalamnya jika ada. Menaip satu laman utama yang panjang lebar dan berjela-jela bukan satu idea yang baik, ia akan menyebabkan pengguna atau pelayar yang ingin melayar akan terpaksa menunggu lama untuk lihat laman tersebut akibat kelajuan talian Internet yang perlahan.

Oleh yang demikian, pecahkannya kepada beberapa laman, iaitu simpan di dalam beberapa fail HTML yang berasingan. Anda boleh gunakan fail utama tadi untuk membuat pautan (link) kepada laman-laman yang lain. Sebelum membuat pautan, pastikan semua fail yang hendak dipaut itu sudah wujud.

Untuk membuat link, anda perlu pilih (highlight) teks yang dikehendaki dan kemudian ambil menu yang sesuai, bergantung kepada perisian yang anda guna. Sebagai Contoh, Frontpage menggunakan menu Insert > Hyperlink. Apabila ditanya, masukkan nama fail yang hendak dipautkan itu ataupun terus guna butang browse untuk mendapatkan fail berkenaan.

Banyak lagi fungsi-fungsi lain yang boleh anda buat menggunakan perisian-perisian itu termasuklah penggunaan jadual (table), garisan, perenggan dan lain-lain. Cubalah bermain-main dengan perisian itu untuk membiasakan diri dan akhir sekali menguasainya. Ular yang menyusur di celah-celah akar tidak akan hilang biasanya, tidak ada ruginya jika anda mencuba.

Secara konsepnya, sewaktu dalam proses membina laman web, kita turut perlu memikirkan beberapa perkara seperti kepada siapa laman web itu disediakan, bagaimana pengguna hendak bergerak dari satu laman ke laman yang lain, apakah grafik-grafik atau audio yang hendak diguna serta apakah pautan-pautan luar yang perlu dimasukkan untuk menjadikan kandungannya lebih bernilai.

Di dalam Internet, ada banyak laman web yang menyediakan bantuan yang lebih mendalam tentang bagaimana hendak membuat laman web dan akhir sekali menerbitkannya ke Internet untuk membolehkan ia ditonton oleh semua orang di seluruh dunia. Anda hanya perlu rajin mencari dan membacanya sahaja. Di kedai-kedai buku juga sudah ada beberapa buku berkenaan HTML dan lain-lain topik yang berkaitan dengan Internet yang di tulis atau diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Jika buku sukar didapati ataupun berharga mahal, layari sahaja Internet dan pelbagai bentuk maklumat boleh dicari untuk membantu kerja-kerja anda.

Perisian seperti FrontPage Express dan Netscape Composer adalah dua contoh perisian yang percuma dan mudah diguna. Banyak lagi perisian seperti ini boleh dipindah terima daripada Internet atau dibeli dari kedai untuk membantu anda. Bagaimanapun, jika anda ingin terus mencuba sesuatu yang baru, cubalah pelajari HTML, iaitu bahasa asas untuk semua laman web di Internet.

Jika anda boleh menguasai HTML, lebih banyak perkara menarik yang boleh anda lakukan. Rujuk kepada Panduan Asas HTML yang boleh anda temui di ruangan http://www.putera.com/tutorial.

Selain dari memahami apa itu HTML dan cara mennyediakan dokumen HTML, untuk laman web, anda juga boleh mendapatkan pelbagai imej grafik seperti ikon, garisan dan sebagainya yang boleh dipindah terima dari beberapa tapak web d Internet seperti http//www.clipart.com ataupun http://www.corbis.com. Fail-fail grafik untuk laman web biasanya mestilah dalam format GIF (*.gif) atau JPEG (*.jpg).

Ringkasnya, jika anda rajin melayari Internet, banyak sumber rujukan boleh anda temui, yang boleh digunakan untuk anda membina sebuah laman web sendiri.
Selamat berjaya!
By Shanai

ARTICLES SOURCE : WWW.PUTERA.COM

No comments:

Post a Comment