Saturday, October 11, 2008

NISSAN LATIO

Jentera talaan Impul

Kini legasi talaan Impul diteruskan untuk model keluaran Nissan Latio. Tampak sporty dan kemas, anda hanya perlu menambah RM10,500 berbanding harga asal sebuah Latio.


GRIL radiator bahagian depan berbentuk segi tiga tampak kemas.


BAGI Nissan, pengubahsuaian atau talaan jentera jenama itu yang membuatkannya lebih menyerlah berbanding model lain di pasaran. Impul dan Nismo adalah dua nama yang tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan Nissan.


Atas alasan itu jugalah, tidak hairan jika pemilik Nissan cukup berbangga jika jentera mereka mempunyai konotasi dengan dua nama besar tersebut, walaupun aksesori yang dipasang itu kadangkala diragui ketulenannya.

Nama Nismo sebenarnya timbul daripada divisyen Nissan Motorsport yang bertanggungjawab dalam aspek sukan bermotor (Formula Nippon, 24 Hours of Le Mans, 24 Hours of Daytona, Super GT) dan produk talaan seliaan Nissan Motor Company.

Nismo dilihat cukup berjaya dalam menghasilkan pelbagai produk selepas pasaran berprestasi tinggi termasuklah sistem suspensi, talaan enjin, serta alat ganti aerodinamik seperti spoilers, diffusers dan rim aloi.

Produk Nismo ini boleh dilihat pada kebanyakan model Nissan. Model SUV X-Trail, selain jentera sport iaitu Nissan Skyline dan Fairlady sekali gus membuatkan jenama ini semakin eksklusif.


LATIO Impul didatangkan dengan tayar 17 inci.


Biarpun tidak segah Nismo, Impul yang diasaskan oleh seorang pelumba terkemuka Jepun, Kazuyoshi Hoshino tidak terkecuali dalam memberi sumbangan besar bagi menyemarakkan model keluaran Nissan. Antara model popular yang mendapat sentuhan Impul ialah Nissan March.


Kini, legasi talaan Impul terhadap model keluaran Nissan diteruskan pada model sedan dan hatchback terbarunya iaitu Latio. Dilancar pada pertengahan tahun 2008, model yang dikenali sebagai Impul Latio ini tampil dengan penambahan lebih segar dan maskulin.

Sesi pandu uji model Impul Latio Sport berwarna putih (brilliant white) selama beberapa hari memberi peluang kepada penulis untuk menilai sendiri kelebihan dan kekurangan yang ada padanya.

Tidak dapat dinafikan bahawa penampilan Impul Latio Sport ini jauh lebih mengujakan. Aerokit ciptaan Impul boleh dilihat pada bumper depan dan belakang, gril radiator, skirt sisi dan wing spoiler.

Harus diakui bahawa wajah asal Latio Sport ini berubah agak drastik. Bahagian hadapannya kelihatan lebih lebar dengan kehadiran bumper yang lengkap bersama lampu kabus.



WING spoiler ini bukan sekadar perhiasan tetapi dibina atas asas aerodinamik kenderaan.


Cuma, penulis kurang gemar dengan rekaan gril radiator yang seakan berbentuk segi tiga dan tajam itu, ia kelihatan seperti boleh dibuat di mana-mana bengkel di Bandar Sunway.

Bahagian belakang Latio Impul nampak cukup kemas. Spoiler yang terletak di bahagian atas direka sepadannya. Bumper belakangnya pula menempatkan hujung ekzos yang rekaannya seperti ia dipasang dengan air diffuser.

Selain aerokit, model ini dilengkapi dengan empat komponen utama. Antaranya ialah peredam ekzos Impul Blast II. Ia dihasil menggunakan besi tahan karat berwarna krom dengan logo Impul diembos di atasnya.

Ia bukan sahaja memberikan tindak balas lebih baik dengan enjin, malah menyediakan ritma enjin yang pasti menjengah ke dalam kabin setiap kali pedal minyak ditekan keras.


Nadi Impul Latio Sport masih mengekalkan unit enjin bersesaran 1.6 liter, sama seperti model Latio Sport sedia ada. Walaupun dikatakan menerima talaan, namun prestasinya dirasakan tidak jauh berbeza.

Dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, prestasi keseluruhan Impul Latio Sport masih memuaskan, walaupun penulis sering beranggapan enjin 1.8 liter mungkin boleh menjadi taruhan lebih baik.


IMPUL nampaknya berjaya membuatkan model Latio Sport ini menjadi lebih eksklusif.


Penampilan model edisi terhad ini disempurnakan dengan kehadiran rim aloi Team Impul NS GT2 berwarna emas. Rim dengan diameter 17 inci ini hanya seberat 6.48 kilogram.

Tidak sekadar memenuhi kepuasan visual, rim ini sedaya upaya dibangunkan bagi mengoptimumkan tahap kawalan pemanduan menerusi rasa rigiditi stereng dan cengkaman di atas jalan raya.

Rim yang turut ditawarkan dengan warna perak ini disalut menggunakan tayar Dunlop dari siri Formula D 01. Jika dibeli secara berasingan, tayar ini berharga RM350 setiap satu, tidak termasuk kosbalancing dan alignment.


Tidak sah rasanya jika bercakap tentang jenama talaan andai tidak menyentuh tentang sistem suspensinya. Maka, jentera ini dipasang dengan sistem suspensi Impul Sports.

Direka selaku sistem suspensi berprestasi tinggi, ia meliputi penyerap hentakan dan pegas gegelung yang dibina khas untuk kenderaan yang direndahkan. Terasa agak keras, penumpang pasti merasa sedikit kurang selesa ketika ia melalui jalan tidak rata dan berlubang.


Namun, suspensi ini cukup cemerlang dalam menyediakan kestabilan pemanduan, terutamanya ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Jarang sekali kereta ini mengalami masalah oversteer, sekali gus membuatkan sesiapa pun yang memandunya berasa lebih yakin.

Sewaktu pelancaran Impul Latio, Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), Datuk Dr. Ang Bon Beng berkata, pihaknya menetapkan sasaran jualan varian terbaru itu antara 100 hingga 200 unit sebulan.

Pelancaran itu juga menandakan bermulanya kerjasama antara ETCM dan Hoshino Impul Co Ltd yang berpengkalan di Jepun dalam menyediakan alat ganti berprestasi tinggi kepada ETCM.


IMPUL Latio Sport dengan\ spoiler\ yang sepadan dengan reka bentuknya yang \sporty\.


Bagi model Latio talaan Impul, hanya empat warna ditawarkan iaitu putih, hitam, kelabu dan perak. Harganya? Anda perlu menambah sebanyak RM10,500 berbanding harga asal sebuah Latio bagi mendapatkan semua kelebihan ini.


Pemilik Latio sedia ada boleh membeli aksesori Impul ini secara berasingan.

Bagi model yang dipandu uji ini, anda boleh memperolehnya pada harga sekitar RM105,000. Ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).


source:  kosmo online

No comments:

Post a Comment