Tuesday, March 31, 2009

Gila menghias

Gila menghias

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


DUNIA pengubahsuaian kenderaan tempatan terus subur dengan usaha pelbagai pihak menganjurkan beberapa siri pertandingan yang berjaya mencungkil kreativiti peminat terhadap jentera masing-masing untuk dipertontonkan kepada umum.

DUNIA pengubahsuaian kenderaan tempatan terus subur dengan usaha pelbagai pihak menganjurkan beberapa siri pertandingan yang berjaya mencungkil kreativiti peminat terhadap jentera masing-masing untuk dipertontonkan kepada umum.

Tidak dinafikan kegilaan terhadap pengubahsuaian kenderaan menyaksikan ia memasuki fasa kedua apabila peminat sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit asalkan kereta mereka cantik dan menarik semata-mata untuk menarik perhatian ramai.


Karnival Drift dan Autoshow KL X-Street Games 2009 yang diadakan di Dataran Merdeka, baru-baru ini membuktikan bahawa aktiviti pengubahsuaian kenderaan bukan sekadar memenuhi minat semata-mata, malah mampu mewujudkan persaingan sihat sesama peserta.

Rata-rata setiap peserta mempamerkan kreativiti masing-masing sama ada menukar rupa fizikal kereta mereka kepada lebih ekstrem atau membingitkan telinga dengan sistem audio yang mengagumkan.

Pertandingan seperti itu menunjukkan anak tempatan juga tidak kering idea dalam menghias kenderaan sehingga pelancong asing yang mengunjungi kawasan berkenaan mengambil kesempatan untuk bergambar bersama kereta yang dipamerkan.

Lebih 50 peserta pameran menyertai aktiviti berkenaan termasuk peserta dari Terengganu, Melaka, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Dataran Merdeka ketika itu meriah dengan deretan kereta cantik dari seluruh Semenanjung Malaysia yang berkumpul dengan pelbagai ‘kerenah’, warna dan gaya dapat disaksikan selain deruman enjin yang memeriahkan suasana.

Lebih membanggakan, peserta bukan saja hadir dari Lembah Klang, tetapi turut menggamit pemilik dari Pahang dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, mereka yang berminat dengan aksi lasak juga berpeluang menunjukkan skil masing-masing apabila pengeluar tayar terkenal Jepun, Toyo Tires menyediakan trek mini bagi menguji kehandalan peserta mengawal dan mengelak halangan.

Pengerusi program, Mohd Ali Hanafiah, ketika ditemui berkata, aktiviti drift yang berlangsung itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah penyertaan bagi pertandingan kereta cantik adalah di luar jangkaan.

“Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti menarik berkaitan sukan permotoran diadakan termasuk acara drift yang menyaksikan penyertaan ramai peserta untuk mempamerkan kehebatan jentera masing-masing,” katanya.

Menurutnya, acara yang pertama kali diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada generasi muda terbabit dalam kegiatan sihat terutama kepada mereka yang meminati kerja pengubahsuaian kenderaan.

Beberapa peserta ketika ditemui berkata, karnival berkenaan perlu diteruskan pada masa depan kerana ia mampu memberi kesan positif kepada generasi muda yang meminati pengubahsuaian kenderaan.

Mohd Shahril Amiruddin, berkata pameran kereta seperti itu memberi kepuasan kepada dirinya yang sudah beberapa tahun mengikuti pertandingan sama.

Menurutnya, jentera kesayangannya itu sudah beberapa kali diubah suai yang membabitkan kos lebih RM30,000.

“Penyertaan pertandingan seperti ini dapat mengembangkan kreativiti saya dalam kerja pengubahsuaian kenderaan.

“Walaupun kos dilaburkan tinggi, ia memberikan kepuasan kepada saya dan jika ada pertandingan seperti ini pada masa akan datang, saya pasti tidak akan ketinggalan,” katanya.

Kerja pengubahsuaian yang dilakukan di bengkel miliknya di Selayang, Selangor membabitkan semburan warna udara, ruang dalaman, bahagian enjin serta penambahan aksesori.

Sementara itu, Mohd Yusof Ismail, 22, dari Pahang berbangga kerana usahanya dalam melakukan kerja pengubahsuaian mendapat perhatian pengunjung.

Dia yang melabur RM20,000 untuk kerja pengubahsuaian penuh, menganggap ia hobi menarik kerana dapat dikongsi dengan orang ramai.

“Hobi ini menjadi kegilaan generasi muda masa kini. Kami bukan saja dapat melakukan sesuatu yang baru, tetapi turut mengembangkan bakat dalam kerja pengubahsuaian kenderaan terutama membabitkan kenderaan keluaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, penganjuran pertandingan seperti itu sememangnya ditunggu-tunggu peminat kerana mereka dapat mempamerkan kereta yang sudah diubah suai selain berkongsi maklumat dengan pengunjung.

Menurut seorang peserta yang dikenali sebagai Izhar, dia membelanjakan lebih RM70,000 untuk mengubah suai bahagian dalaman dan luaran termasuk enjin, sistem bunyi serta rim sport.

“Untuk cat saja, saya membelanjakan RM7,000 dan berbaloi apabila melihat kereta menjadi lebih cantik dan perasaan itu mendorong saya mengubahsuai kereta.

“Saya gembira kerana selepas berbelanja besar, saya mampu menang beberapa gelaran selain dapat mengenali lebih ramai rakan yang mempunyai minat sama,” katanya yang mengusahakan bengkel membaik pulih kenderaan di Bangi, Selangor.


SOURCE: MYMETRO ONLINE

No comments:

Post a Comment