Tuesday, March 31, 2009

Gila menghias

Gila menghias

Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


DUNIA pengubahsuaian kenderaan tempatan terus subur dengan usaha pelbagai pihak menganjurkan beberapa siri pertandingan yang berjaya mencungkil kreativiti peminat terhadap jentera masing-masing untuk dipertontonkan kepada umum.

DUNIA pengubahsuaian kenderaan tempatan terus subur dengan usaha pelbagai pihak menganjurkan beberapa siri pertandingan yang berjaya mencungkil kreativiti peminat terhadap jentera masing-masing untuk dipertontonkan kepada umum.

Tidak dinafikan kegilaan terhadap pengubahsuaian kenderaan menyaksikan ia memasuki fasa kedua apabila peminat sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit asalkan kereta mereka cantik dan menarik semata-mata untuk menarik perhatian ramai.


Karnival Drift dan Autoshow KL X-Street Games 2009 yang diadakan di Dataran Merdeka, baru-baru ini membuktikan bahawa aktiviti pengubahsuaian kenderaan bukan sekadar memenuhi minat semata-mata, malah mampu mewujudkan persaingan sihat sesama peserta.

Rata-rata setiap peserta mempamerkan kreativiti masing-masing sama ada menukar rupa fizikal kereta mereka kepada lebih ekstrem atau membingitkan telinga dengan sistem audio yang mengagumkan.

Pertandingan seperti itu menunjukkan anak tempatan juga tidak kering idea dalam menghias kenderaan sehingga pelancong asing yang mengunjungi kawasan berkenaan mengambil kesempatan untuk bergambar bersama kereta yang dipamerkan.

Lebih 50 peserta pameran menyertai aktiviti berkenaan termasuk peserta dari Terengganu, Melaka, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Dataran Merdeka ketika itu meriah dengan deretan kereta cantik dari seluruh Semenanjung Malaysia yang berkumpul dengan pelbagai ‘kerenah’, warna dan gaya dapat disaksikan selain deruman enjin yang memeriahkan suasana.

Lebih membanggakan, peserta bukan saja hadir dari Lembah Klang, tetapi turut menggamit pemilik dari Pahang dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, mereka yang berminat dengan aksi lasak juga berpeluang menunjukkan skil masing-masing apabila pengeluar tayar terkenal Jepun, Toyo Tires menyediakan trek mini bagi menguji kehandalan peserta mengawal dan mengelak halangan.

Pengerusi program, Mohd Ali Hanafiah, ketika ditemui berkata, aktiviti drift yang berlangsung itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah penyertaan bagi pertandingan kereta cantik adalah di luar jangkaan.

“Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti menarik berkaitan sukan permotoran diadakan termasuk acara drift yang menyaksikan penyertaan ramai peserta untuk mempamerkan kehebatan jentera masing-masing,” katanya.

Menurutnya, acara yang pertama kali diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada generasi muda terbabit dalam kegiatan sihat terutama kepada mereka yang meminati kerja pengubahsuaian kenderaan.

Beberapa peserta ketika ditemui berkata, karnival berkenaan perlu diteruskan pada masa depan kerana ia mampu memberi kesan positif kepada generasi muda yang meminati pengubahsuaian kenderaan.

Mohd Shahril Amiruddin, berkata pameran kereta seperti itu memberi kepuasan kepada dirinya yang sudah beberapa tahun mengikuti pertandingan sama.

Menurutnya, jentera kesayangannya itu sudah beberapa kali diubah suai yang membabitkan kos lebih RM30,000.

“Penyertaan pertandingan seperti ini dapat mengembangkan kreativiti saya dalam kerja pengubahsuaian kenderaan.

“Walaupun kos dilaburkan tinggi, ia memberikan kepuasan kepada saya dan jika ada pertandingan seperti ini pada masa akan datang, saya pasti tidak akan ketinggalan,” katanya.

Kerja pengubahsuaian yang dilakukan di bengkel miliknya di Selayang, Selangor membabitkan semburan warna udara, ruang dalaman, bahagian enjin serta penambahan aksesori.

Sementara itu, Mohd Yusof Ismail, 22, dari Pahang berbangga kerana usahanya dalam melakukan kerja pengubahsuaian mendapat perhatian pengunjung.

Dia yang melabur RM20,000 untuk kerja pengubahsuaian penuh, menganggap ia hobi menarik kerana dapat dikongsi dengan orang ramai.

“Hobi ini menjadi kegilaan generasi muda masa kini. Kami bukan saja dapat melakukan sesuatu yang baru, tetapi turut mengembangkan bakat dalam kerja pengubahsuaian kenderaan terutama membabitkan kenderaan keluaran tempatan,” katanya.

Menurutnya, penganjuran pertandingan seperti itu sememangnya ditunggu-tunggu peminat kerana mereka dapat mempamerkan kereta yang sudah diubah suai selain berkongsi maklumat dengan pengunjung.

Menurut seorang peserta yang dikenali sebagai Izhar, dia membelanjakan lebih RM70,000 untuk mengubah suai bahagian dalaman dan luaran termasuk enjin, sistem bunyi serta rim sport.

“Untuk cat saja, saya membelanjakan RM7,000 dan berbaloi apabila melihat kereta menjadi lebih cantik dan perasaan itu mendorong saya mengubahsuai kereta.

“Saya gembira kerana selepas berbelanja besar, saya mampu menang beberapa gelaran selain dapat mengenali lebih ramai rakan yang mempunyai minat sama,” katanya yang mengusahakan bengkel membaik pulih kenderaan di Bangi, Selangor.


SOURCE: MYMETRO ONLINE

Thursday, March 5, 2009

BATU KARANG 2

Cara Atasi penyakit Batu Karang



Masalah dan Solusi Penyakit Batu KarangADA banyak faedah jika kita sanggup berpantang sedikit dalam soal makan minum; terutama bagi mereka yang ada risiko mendapat penyakit atau pernah menghidap masalah kesihatan tertentu.


Bagi individu yang mengalami masalah batu karang, panduan di bawah mungkin dapat membantu meningkatkan kesihatan:


Minum banyak air masak untuk membersihkan air kencing.

Elakkan minuman manis, terutama minuman karbonat.

Kekurangan vitamin B6 dan potassium menyebabkan pembentukan batu karang. Makanan seperti barli, kentang, keledek, berasaskan tepung gandum, bunga kubis dan pisang mengatasi masalah kekurangan ini.

Elakkan makanan kaya asid oksalik seperti tomato, bayam, lobak merah, daging, strawberi, koko, coklat dan teh.

Kurangkan pengambilan garam dan gula, termasuk ikan masin, jeruk dan coklat.

Banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kaya serat.

Kurangkan sumber protein haiwan, sebaliknya gantikan dengan protein tumbuh-tumbuhan.

Kurangkan minum kopi, teh dan alkohol.


SOURCE: http://batukarang.tripod.com

BATU KARANG

Penyakit Batu Karang

Masalah dan Solusi Penyakit Batu KarangPengenalan :

Batu Karang dalam Ginjal (Buah Pinggang)

Apa dia Batu karang dalam Ginjal?

Batu yang terdapat dalam ginjal atau lebih dikenali dengan "Buah Pinggang" terjadi dari tumbuhan kristal halus dari beberapa jenis kimia. Kimia yang paling lumrah adalah kalsium oxalat, kalsium pospat dan yang kurang dikenali ialah asid uric, cystine dan magnesiam pospat ammonia.


Saiz batu karang ini ada yang halus seperti pasir dan boleh jadi sebesar bola golf. Kebanyakkan batu tumbuh membesar dalam ginjal, kemudian bergerak ke bawah ke dalam saluran kencing dimana ianya menjadi bertambah besar.

Kesulitan akan timbul apabila batu-batu menjadi terlalu besar yang mengakibatkan ganguan kepada perjalanan aliran air kencing. Ini boleh membawa kepada penyakit dimana kuman-kuman akan merebak. Gangguan dan/ atau perebakan kuman itu akan mengakibatkan kerosakan ginjal, jika tidak diubati segera.

Adakah batu dalam ginjal penyakit biasa ?

Kejadian batu dalam ginjal ini adalah masalah biasa dalam saluran kencing. Adalah dianggarkan bahawa satu hingga lima peratus dari jumlah penduduk akan mengalami kejadian batu dalam ginjal ini pada sesuatu ketika dalam hidupnya. Sesetengah orang mengalami kejadian batu karang hanya sekali, kemudian pulih dan tidak berulang lagi.


Dalam kebanyakkan kes batu dalam ginjal adalah penyakit berpanjangan seumur hidup. Biasanya orang lelaki pertengahan umur lebih ramai yang mengidap penyakit ini dari kaum wanita. Ada diantara penyakit batu karang ini disebabkan oleh zuriat keturunan.

Jika terdapat sejarah kejadian penyakit ini di kalangan anda, mintalah nasihat daripada doktor anda.


Apakah tanda-tandanya ?


Batu dalam ginjal jarang-jarang menimbulkan masalah ketika ianya mula terjadi. Tetapi apabila batu-batu itu beralih atau bergerak di dalam ginjal atau di dalam saluran kencing, kesakitan yang amat sangat \akan dirasai dan pendarahan biasanya berlaku sehinggalah sesudah batu itu keluar.


Dalam sesetengah kes, batu itu tersekat menyebabkan kesakitan dan membahayakan apabila kuman itu merebak. Bila ini berlaku, tanda-tanda seperti berikut akan dirasai iaitu pedih ketika buang air kecil, rasa loya dan air kencing berbau busuk. Ini memerlukan rawatan perubatan yang segera.


Bagaimana batu dalam ginjal itu diubati ?


Pengubatan penyakit ini berbeza mengikut keadaan seseuatu kes itu. Jika batu-batu ini dapat keluar dengan spontan maka pengubatannya ialah dengan mengelakkannya dari berlaku lagi. Dalam hal ini pesakit akan disuruh minum air dengan banyak, sebanyak 3 liter sehari.


Cara ini akan dapat membersihkan ginjal. Makanan pesakit juga akan diubahsuai bagi mengurangkan bahan kimia yang terdapat dalam badan pesakit. Apabila batu itu keluar, pesakit hendaklah menyimpannya untuk dibuat kajian.

Kajian ini perlu untuk para doktor bagi menentukan sebab musabab terjadinya batu tersebut dan boleh pula membantu dalam rancangan pengubatan bagi mengelakkan berulang lagi penyakit ini. Pengubatan telah berjaya didapati untuk menghancurkan batu asid uric dan systine.


Dalam kes-kes yang lebih serius, apabila batu itu terlalu besar untuk keluar sendiri dan memudaratkan pesakit, suatu pembedahan adalah perlu. Adalah penting diingatkan bahawa penyakit ginjal ini memerlukan pengubatan sepanjang hayat. Jika ianya tersekat dan perebakan kuman berlaku, maka ginjal atau buah pinggang tidak akan berfungsi lagi.

SOURCE : http://batukarang.tripod.com/

TOYOL

Toyol merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin ataupu syaitan, yang dipelihara bagi tujuan mencuri. Toyol ini dikatakan berbentuk kanak-kanak kecil dan turut mempunyai perangai seperti kanak-kanak kecil.


Pemeliharaan makhluk halus ini dikenali sebagai saka.Toyol biasanya dipelihara dengan tujuan membantu pemiliknya mendapatkan duit dengan mencuri daripada jiran-tetangga.Toyol mampu menyelip dalam mana-mana bilik berkunci, dan mampu mencari wang tunai yang disorokkan di mana sahaja, kononnya termasuk yang disorok dicelah kitab suci.


Pemelihara toyol biasanya akan membeli atau memuja untuk mendapatkan toyol. Toyol yang dipelihara, dipercayai secara umum sebagai mempunyai bentuk seorang budak kecil berbogel, dengan mata yang merah dan gigi yang tajam.


Kononnya, toyol akan dipelihara dalam sebuah botol kecil dan pemiliknya akan memberikannya makan darahnya sendiri setiap hari/setiap bulan mengambang. Sekiranya gagal, toyol akan menghisap darah ahli keluarga terdekat pemiliknya.Pengamal ilmu sihir atau ilmu sesat ini adalah satu perbuatan syrik dalam agama Islam.


Sekiranya tidak dijaga dengan baik, toyol akan membinasakan ahli keluarga terdekat pemilik toyol. Sekiranya toyol tidak lagi diperlukan, pemilik toyol perlu mendapatkan tuan pengganti, atau menghantar toyol itu balik ketempat ia dibeli, atau ia perlu dibuang, biasanya dihanyutkan dengan acak kedalam sungai.


Terdapat petua yang menyatakan sekiranya sejenis permainan (ada sesiapa yang tahu, mungkin sekali ketam), diletakkan hampir dengan wang yang disimpan, toyol akan asyik bermain sehinggakan terlupa mengambil wang. kacang hijau yang diletakkan ke dalam kantung juga dikatakan boleh melalaikan toyol.


Toyol juga tidak akan mencuri keseluruhan jumlah wang, tetapi sekadar mengambil sebahagian daripada wang yang tersimpan. Mungkin kerana kata orang tua-tua yang mengatakan bahawa "budak-budak jangan pegang duit banyak banyak".


Pemilik toyol juga perlu memenuhi apa sahaja permintaan toyol peliharaannya, sekiranya gagal, toyol tersebut akan bertindak ganas.Secara ilmiah, toyol hanyalah satu helah pencuri yang bergerak aktif disesuatu tempat.


Sekiranya terdapat toyol sebenar, tuan toyol boleh mendapatkan wang yang lebih banyak dengan membuat pertunjukkan, tanpa perlu mencuri.

Sunday, January 11, 2009

Nyamuk suka lagu cinta

Nyamuk suka lagu cinta

WASHINGTON - Irama perlahan daripada lagu cinta mungkin membantu saintis membasmi pembiakan nyamuk yang didapati gemar mengawan ketika mendengar melodi tersebut.

Para penyelidik Universiti Cornell dekat sini dalam jurnal Science terbaru mendakwa, pasangan nyamuk menyanyi dengan cara mengibas sayap bersama secara harmoni mengikut lagu cinta.

Bunyi kepak mereka berpadanan pada frekuensi 1,200 Hertz (Hz) berbanding jika terbang bersendirian pada gelombang 400 Hz untuk nyamuk jantan dan 600 Hz pula bagi betina.

Bunyi tersebut jelas dapat didengar bingit seiring dengan irama perlahan daripada nyamuk Aedes aegypti yang boleh menyebabkan penyakit demam kuning dan denggi. - Agensi



source: kosmo online

Wednesday, December 31, 2008

Kawal pernafasan dari perut

Kawal pernafasan dari perut


EMOSI dapat dikawal jika seseorang bernafas dengan betul.


SEBAIK saja keluar dari bilik mesyuarat, kepala Zaril mula berserabut dengan pelbagai tugasan baru yang diberikan oleh ketuanya.

Nafas yang dihembus, tersekat-sekat, seolah-olah ada yang menekan dadanya tatkala melihat timbunan kerja di atas mejanya.

Zaril segera bangun lalu cuba mengatur semula pernafasan sambil menenangkan diri. Beberapa minit kemudian kepalanya yang terbeban terasa ringan.

“Tekanan kerja, persekitaran malah dalam keadaan biasa pun, ramai orang yang sering terlupa bagaimana perlunya bernafas dengan betul,” ujar seorang pakar pernafasan, Dominique Lonchant.

Jelasnya lagi, pengawalan pernafasan yang betul dapat memastikan pembukaan saluran udara yang sempurna serta kapasiti udara yang memasuki paru-paru adalah maksimum.

“Pengawalan pernafasan mempunyai empat bahagian utama iaitu di bahagian perut, tekak, sisi dada dan pernafasan secara keseluruhan,” katanya sambil menunjukkan cara yang betul menghembus dan menarik nafas menggunakan hidung.

Menurut Dominique, kebanyakan kita gemar ‘menelan’ nafas yang sekali gus menyebabkan banyak elemen negatif masuk ke dalam tubuh.


TEKNIK pengawalan pernafasan harus diketahui semua orang.


“Pernafasan yang perlahan juga membuatkan udara yang disedut tidak sampai ke paru-paru ketika proses menyedut dan menghembus

Kerana itu, Dominique menegaskan pengawalan pernafasan harus diketahui oleh semua orang, terutama dalam keadaan yang tertekan.

“Sebagai contoh, pernafasan yang dikawal melalui perut mampu membetulkan sistem pencernaan, buah pinggang, hati serta perjalanan darah,” katanya.

Di samping itu, pernafasan clavicular iaitu pernafasan yang memberi tekanan di bahagian bawah ketiak juga dibuktikan dapat mencegah kanser payu dara di kalangan wanita.

“Manakala pengawalan yang dilakukan menerusi tekak pula membantu memulihkan sistem jantung termasuk menguatkan organ tersebut,” kata Dominique yang berasal dari Perancis.

Cerita Dominique, pengalamannya mengajar beberapa orang penyanyi mengenai pernafasan yang betul telah banyak membantu mereka dalam sesuatu persembahan.

Bukan sekadar itu, bagi amalan biasa, aturan pernafasan yang betul juga dapat mengelakkan seseorang itu daripada perasaan malas terutamanya pada waktu pagi.

“Kadar oksigen yang kurang pada waktu pagi menyebabkan rasa kemalasan itu cukup tinggi dan menerusi senaman pernafasan ini, aliran darah serta oksigen akan lebih pantas bergerak,” katanya.

Jelas lelaki yang berpengalaman hampir 28 tahun mengajar teknik ini di seluruh dunia, penyakit seperti asma, gemuruh dan sesetengah alahan berpunca daripada cara bernafas yang salah.

Lebih daripada itu, emosi juga dapat dikawal dengan lebih baik sekiranya aturan pernafasan seseorang itu berada dalam keadaan sempurna.

“Sekiranya kita sukar untuk bernafas, tidak selesa dengan udara yang keluar masuk ke dalam tubuh, secara tidak langsung, ia turut mengganggu mood dan emosi. Ini akan membuatkan seseorang itu mudah marah, rasa tertekan dan bermacam lagi,” ujarnya.



source: kosmo online

Saturday, December 27, 2008

Duplikasi Skyline R-34

Duplikasi Skyline R-34

Skyline R-34 adalah model terbaik kereta Jepun. Harganya yang terlalu mahal, menyebabkan lahirnya jentera seperti GTS-T.




KERETA Nissan menerusi model Skyline R-34 adalah model yang cukup berjaya mengubah imej kereta sports Jepun yang satu ketika dahulu dianggap 'murah' dan tidak tahan lasak.

Model sentuhan asli pakar automotif Jepun itu boleh dianggap raja bagi mana-mana kereta sport GT Jepun yang dilengkapi dengan segala teknologi terbaik dari pengeluar Datsun itu satu ketika dahulu.

Model R-34 ini juga buat pertama kalinya diuji di litar Nurburgring, Jerman untuk membuktikan kepada media dunia bahawa kereta sports coupe ini mampu memberi saingan kepada kereta-kereta Dodge Amerika Syarikat dan sportster buatan Itali.


NISSAN SKULINE R-34 menjadi pengubat lara kepada mereka yang kurang mampu untuk memiliki sebuah Skyline GT-R.


Siri V-Spec GT-R misalnya dijual dengan harga kira-kira setengah juta ringgit di Malaysia ketika mula dibawa masuk sekitar tahun 2000. Kereta ini sendiri sememangnya mahal di Jepun, membuatkannya model yang sukar ditemui di jalan raya di sana.

Namun begitu, untuk membolehkan mereka yang kurang berkemampuan (tetapi kaya) memiliki model yang hampir sama, pihak Nissan telah memperkenalkan model GTS-T (juga ada seperti GTS, GS empat pintu dan berbagai lagi).

Model ini dipasangkan dengan enjin Neo 6 turbo berkapasiti 2.5 liter yang menggunakan asas daripada enjin RB25DET dalam pembinaannya.

Beza antara GTR dan GTS secara visual ialah reka bentuk luarannya yang menampilkan imej sporty yang berbeza. Model GT-R didatangkan dengan bumper hadapan besar, sepasang lampu kabus yang dicantumkan dengan isyarat membelok serta sepasang fender yang lebar.

Lampu belakang antara kedua model ini masih sama. Tetapi jika diteliti dari dekat, model GT-R dihasilkan dengan bentuk badan lebar di belakang bermula dari tiang badan C dan D.

Kereta yang dipaparkan kali ini adalah antara contoh binaan semula industri prestasi tinggi Jepun. Dibina oleh pihak BN Sports, kereta ini telah menjalani pengubahsuaian yang ekstensif terhadap nadi penggerak RB25DET tersebut dengan menempatkan sistem turbo Garret T450 tahap SPL.


LIANG-LIANG yang memberi ruang udara panas dari enjin untuk keluar.


Blok enjin ini menerima bahan bakar daripada enam penyuntik tambahan SARD yang masing-masing berkapasiti 550cc.

Boost berlebihan dikeluarkan menerusi wastegate Trust 88mm dan injap blow-off Greddy. Produk Greddy juga dilihat pada unit penapis udara yang menampilkan penapis udara Trust (Trust/Greddy adalah pengeluar yang sama).

Sistem kotak komputer enjin telah ditala semula dengan menggunakan ECU yang ditempah khas dari pihak NISMO. Pelarasan boost dijalankan oleh alat sokongan HKS Electronic Valve Controller (EVC)

Sistem ekzos kereta ini telah diperbaharui dengan memampatkan paip-paip stainless steel 304 HKS. Ia merupakan peralatan bolt-onyang didatangkan lengkap dengan peredam bunyi asal HKS, namun pihak BN Sports telah bertindak menukar peredam asal kepada peredam JIC.




Kotak gear lima kelajuan manual asal telah diperkuatkan dengan pelapik klac Nismo. Membezakan GTR dengan GTS ialah sistem pacuan empat roda HICAS BNC R-34 dan pacuan roda belakang konvensional LSD pada GT-S.

Sistem suspensi kereta ini telah diperbaharui dengan mengadunkan set suspensi lengkap upper pillowball mount camber berjenama JIC Magic. Brek-brek kini ialah brek 6 pot GTR di hadapan dan brek asal GTS (juga Brembo) di bahagian belakang.

Menemani ruang rodanya ialah rim-rim krom Volks Racing GT-AV berdiameter 19 inci yang disalutkan dengan tayar-tayar Goodyear Eagle bersaiz 245/35/19 di segenap sudut.

Bahagian dalaman kereta ini kelihatan agak ringkas dengan sepasang tempat duduk bucket penuh JIC yang ditemani stereng Momo sport 14 inci. Gugusan meter dalamannya telah dipertingkatkan dengan penggunaan meter RPM Auto Meter dan meter tambahan Greddy.

Bahagian luar Skyline ini masih mengekalkan keaslian asas GTS-T. Pihak BN Sports telah menempah bodykit custom dari pihak Gracer untuk mendapatkan kelainan pada model GTS-T yang pernah disolek oleh syarikat tersebut.

Bodykit agresif ini menampilkan sirip bonet, bumper hadapan, skirting sisi dan spoiler GT belakang. Langkah terakhir ialah melayangkan warna sparkling 3D Gold untuk menarik perhatian umum terhadap legenda kereta sport kelahiran Jepun ini.



source: kosmo online

Sunday, November 2, 2008

HSDPA tri-band muzik

HSDPA tri-band muzik


RASAI kepuasan muzik dengan W760i.


TELEFON bimbit W760i merupakan telefon bimbit Walkman pertama global yang dilengkapi dengan HSDPA tiga band (tri-band). Ia membolehkan muat turun jalur lebar muzik terkini secara pantas di mana sahaja tempat yang menawarkan teknologi berkenaan.

Lebih banyak frekuensi band yang dimiliki sesuatu telefon bimbit, memungkinkan ia melakukan perantauan di antara negara-negara berbeza atau mendapat liputan yang lebih baik dalam negara.

Menawarkan muzik pada telefon bimbit, W760i berupaya menjadi fokus dalam parti spontan atau pengalaman bermain permainan dengan pembesar suara stereo bina dalamnya yang kuat. Jika di luar bangunan, gunakan telefon ini bersama dengan Active Speaker MAS-100, sebuah bekas yang bukan sahaja nampak fantastik dan melindungi telefon bahkan dalam masa yang sama menjadi pembesar suara. Antena radio FM yang dimilikinya membolehkan anda menikmati muzik bersama rakan-rakan.

Simpanlah sehingga 950 buah lagu di dalam telefon bimbit dengan memori luaran 1 Gigabait yang didatangkan bersamanya.

W760i juga membantu anda memilih muzik yang tepat untuk suasana. Menggunakan ciri SensMe, ia membantu anda memilih muzik atau trek yang berpadanan dengan mood anda dengan segera.

Lakukan navigasi senarai main lagu secara Shake Control, iaitu dengan menggoncang sekali untuk melangkau ke trek seterusnya, melakukan shuffle atau mengawal suara.

Memiliki antara muka Media User yang intuitif, ia boleh melakukan putaran gambar, video atau permainan pada skrin berdasarkan cara anda memegang telefon berskrin 2.2 inci ini.

W760i juga dilengkapi dengan sistem penentu kedudukan global (GPS) bina dalam. Beserta dengan Wayfinder Navigator ia membolehkan anda mencari lebih 20 juta lokasi menarik di seluruh dunia dan memberitahu anda jalan untuk ke situ. Terdapat juga aplikasi fitness yang dipanggil Tracker yang boleh memberitahu berapa pantas atau berapa jauh anda berlari atau berjalan!

Pengalaman bermain game juga lebih menarik dengan telefon ini. Memandangkan keupayaannya untuk pusingan gambar di skrin, ia menyediakan mod landskap untuk memberi kepuasan kepada anda dalam bermain game. Butang-butang dedikasi untuk game juga mengingatkan anda kepada konsol game sebenar. Ia juga dipramuat dengan game-game terbaru seperti Need for Speed ProStreet.


source: http://www.kosmo.com.my

Saturday, October 18, 2008

B5 MAZDA

Penangan si hijau kuning

Reka bentuk seperti jentera Korea, enjin yang digunakan Timor adalah daripada siri B5 Mazda yang turut terdapat pada Mazda Familia dan Ford Laser.


SET warna putih pada papan pemuka, konsol gear dan lelangit bumbung.


INI adalah mobil nasional Indonesia. Semestinya jenama kenderaan ini agak asing bagi rakyat negara kita. Hakikatnya Timor ditubuhkan dengan mengambil konsep pengeluar dan pembuat negara pertama Malaysia iaitu Proton.


Timor atau nama penuhnya Teknologi Industri Mobil Rakyat dilancarkan pada tahun 1996 dengan model pertama iaitu S 515 SOHC.


Seterusnya disusuli dengan S 515i DOHC, model wagon SW 515i dan juga model edisi khas iaitu Sedan Timor Edisi Terhad.

Untuk pengetahuan anda, model LE tersebut mempunyai kit badan lebar yang direka oleh pihak PRODRIVE di Britain, berkuasa 120 hp dan dengan beberapa peralatan standard lain seperti sistem ekzos yang dipertingkatkan, kabel palam pencucuh Hurricane 9mm, palam pencucuh platinum Equim, ECU yang ditala semula, rim 16 inci Compomotive dengan tayar Dunlop D60A2 205/55, klac Daikin daripada bahan bukan asbestos dan tuil gear quick shift.

Bukan setakat itu sahaja, minyak enjin yang digunakan adalah Penzoil GT Performance Plus. Berbalik kepada Timor yang dipaparkan kali ini adalah milik saudara Rian Risky Putrantio, berusia 18 tahun dan baru sahaja tamat SMA atau di Malaysia sekolah menengah dan sedang menunggu keputusan peperiksaannya.


Model yang dimiliki oleh Rian adalah S 515 SOHC keluaran 1999 dan selain digunakan untuk ke sekolah juga telah diprojekkan dan digunakan untuk menyertai pertandingan autosaloon.

Kejayaan yang diperolehi oleh Rian Risky setakat ini agak membanggakan antaranya adalah The Most Extreme Gradation Paint [Auto Extreme 1 hingga 4 Disember 2004] dan The Hottest Indonesian Modified Car! [Auto Black Through 25 hingga 26 Februari 2006].

Modifikasi untuk S 515 ini ditonjolkan dengan jelas apabila badannya dikembangkan dengan gentian kaca selebar empat inci setengah di bahagian arca roda depan dan belakang dan kemudian dikuncupkan kembali dengan kemas pada bahagian lampu depan dan belakang.

Badan S 515 yang agak tirus kini kelihatan lebih gah dan kemas hasil dari pelebaran badan tersebut. Apabila menyertai pertandingan dan pameran automotif antara perkara yang mustahak adalah warna pada kenderaan.


Seperti juga di mana-mana autosaloon sama ada di Jepun, Australia ataupun Amerika kenderaan yang dipamerkan dicat oleh mereka yang terkenal.

Hasil yang semestinya sempurna dan mengagumkan dengan menggunakan jenama cat yang berkualiti. Begitu juga dengan kereta S 515 ini, warnanya adalah Lime Green to Yellow daripada Sherwin-Williams.


MODIFIKASI S 515 ini jelas kelihatan apabila badannya dikembangkan dengan gentian kaca selebar empat inci setengah di bahagian arca roda depan dan belakang.


Warna Lime Green to Yellow seperti nama warnanya akan berubah mengikut keadaan cuaca atau dari sudut mana anda menyaksikannya.

Walaupun sudut luaran kereta-kereta modifikasi Indonesia adalah mewah namun agak berbeza dengan enjinnya. Barang di sana agak mahal dan half cut adalah perkara yang agak mustahil walaupun harga kenderaannya adalah rendah berbanding tempat kita.

Segala kuasa yang ada harus dicernakan bagi meraih kuasa untuk menarik roda dan badan yang bertambah beratnya.


Untuk itu, Rian telah menghantar keretanya ke bengkel kereta dan modifikasi enjin yang telah dilakukan adalah port and polish bagi melegakan sikit keadaan enjinnya.

Rian juga telah menggunakan kabel palam pencucuh 3.5 mm Hurricane dengan koil penyala MSD. Walaupun boleh dikatakan tiada lebihan ataupun tampungan minyak yang signifikan namun itu tidak menghalang Rian untuk menggunakan tangki perangkap minyak dari GREDDY.

Sistem ekzos pula menggunakan manifold 4-1 dengan peredam bunyi keluli tahan karat. Beralih kepada bahagian dalaman, kereta untuk autosaloon mestilah kemas dan menarik dan untuk itu, Rian telah mengkoordinasikan warna dalamannya kepada warna putih.


Set putih tersebut dibalut dengan kulit dan PVC putih yang terdiri daripada papan pemuka, ke empat kulit pintu, konsol gear dan juga lelangit bumbung.

Bagi membaca tekanan-tekanan dan bacaan dalam enjin, meter dari jenama Autogauge seperti tekanan minyak enjin, vakum, suhu minyak enjin telah dipasangkan manakala takometer dan shift light adalah dari jenama Autometer model Cobalt.

Untuk melambatkan pematian enjin, pemasa turbo GREDDY digunakan dan diletakkan di atas kolum stereng. Untuk mengharungi selekoh dan memastikan badan sentiasa dipeluk dengan kemas, kerusi bucket dari jenama SPARCO model Torino telah dipasangkan dan dipadankan dengan 4 point harness SPARCO replika dan diikatkan pada steel harness holder 200kg load pada bracket kerusi bucket nya. Untuk mengawal S 515 nya, Rian menggunakan stereng MOMO model Track. Tombol gear pula adalah dari jenama ISOTTA.

Sistem Hiburan-Dalam-Kereta Rian juga agak menarik seperti yang diperdengarkan di tingkat atas bangunan JMP Kota Surabaya sewaktu penggambaran ini. Unit utamanya ialah dari PIONEER model KEH P402, penukar cakera padat PIONEER CDX-P1280, sub-woofer Rockford Fosgate PunchZ bersaiz 12", Power LANZAR vibe 428 1000watts, pembesar suara mid range MOHAWK Red 62 dan juga kapasitor bank INTERSYS 1.5F.





Rian telah memasang rim Racing Hart CR, bersaiz 18 inci. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Nankang Ultra Sport bersaiz 215/35 dan semestinya radial 18 inci.

Sistem suspensinya telah direndahkan secara custom made tanpa peralatan aftermarket. Akhir sekali, seperti yang telah diterangkan pada awal artikel, Timor adalah kereta nasional Indonesia, tapi tahukah anda nama lain bagi Timor S 515 adalah Kia Sephia dengan spesifikasi enjin bersesaran 1.5 cc karburetor.


Selain dari Timor, terdapat sebuah lagi projek kereta nasional Indonesia iaitu M3 MALEO dengan kerjasama Millard Design and Orbital Engineering dari Australia. Walau bagaimanapun akibat sebab-sebab politik dan kejatuhan ekonomi serantau pada 1997 projek tersebut tidak menjadi.


SOURCE: KOSMO ONLINE

Saturday, October 11, 2008

NISSAN LATIO

Jentera talaan Impul

Kini legasi talaan Impul diteruskan untuk model keluaran Nissan Latio. Tampak sporty dan kemas, anda hanya perlu menambah RM10,500 berbanding harga asal sebuah Latio.


GRIL radiator bahagian depan berbentuk segi tiga tampak kemas.


BAGI Nissan, pengubahsuaian atau talaan jentera jenama itu yang membuatkannya lebih menyerlah berbanding model lain di pasaran. Impul dan Nismo adalah dua nama yang tidak boleh lari daripada dikaitkan dengan Nissan.


Atas alasan itu jugalah, tidak hairan jika pemilik Nissan cukup berbangga jika jentera mereka mempunyai konotasi dengan dua nama besar tersebut, walaupun aksesori yang dipasang itu kadangkala diragui ketulenannya.

Nama Nismo sebenarnya timbul daripada divisyen Nissan Motorsport yang bertanggungjawab dalam aspek sukan bermotor (Formula Nippon, 24 Hours of Le Mans, 24 Hours of Daytona, Super GT) dan produk talaan seliaan Nissan Motor Company.

Nismo dilihat cukup berjaya dalam menghasilkan pelbagai produk selepas pasaran berprestasi tinggi termasuklah sistem suspensi, talaan enjin, serta alat ganti aerodinamik seperti spoilers, diffusers dan rim aloi.

Produk Nismo ini boleh dilihat pada kebanyakan model Nissan. Model SUV X-Trail, selain jentera sport iaitu Nissan Skyline dan Fairlady sekali gus membuatkan jenama ini semakin eksklusif.


LATIO Impul didatangkan dengan tayar 17 inci.


Biarpun tidak segah Nismo, Impul yang diasaskan oleh seorang pelumba terkemuka Jepun, Kazuyoshi Hoshino tidak terkecuali dalam memberi sumbangan besar bagi menyemarakkan model keluaran Nissan. Antara model popular yang mendapat sentuhan Impul ialah Nissan March.


Kini, legasi talaan Impul terhadap model keluaran Nissan diteruskan pada model sedan dan hatchback terbarunya iaitu Latio. Dilancar pada pertengahan tahun 2008, model yang dikenali sebagai Impul Latio ini tampil dengan penambahan lebih segar dan maskulin.

Sesi pandu uji model Impul Latio Sport berwarna putih (brilliant white) selama beberapa hari memberi peluang kepada penulis untuk menilai sendiri kelebihan dan kekurangan yang ada padanya.

Tidak dapat dinafikan bahawa penampilan Impul Latio Sport ini jauh lebih mengujakan. Aerokit ciptaan Impul boleh dilihat pada bumper depan dan belakang, gril radiator, skirt sisi dan wing spoiler.

Harus diakui bahawa wajah asal Latio Sport ini berubah agak drastik. Bahagian hadapannya kelihatan lebih lebar dengan kehadiran bumper yang lengkap bersama lampu kabus.



WING spoiler ini bukan sekadar perhiasan tetapi dibina atas asas aerodinamik kenderaan.


Cuma, penulis kurang gemar dengan rekaan gril radiator yang seakan berbentuk segi tiga dan tajam itu, ia kelihatan seperti boleh dibuat di mana-mana bengkel di Bandar Sunway.

Bahagian belakang Latio Impul nampak cukup kemas. Spoiler yang terletak di bahagian atas direka sepadannya. Bumper belakangnya pula menempatkan hujung ekzos yang rekaannya seperti ia dipasang dengan air diffuser.

Selain aerokit, model ini dilengkapi dengan empat komponen utama. Antaranya ialah peredam ekzos Impul Blast II. Ia dihasil menggunakan besi tahan karat berwarna krom dengan logo Impul diembos di atasnya.

Ia bukan sahaja memberikan tindak balas lebih baik dengan enjin, malah menyediakan ritma enjin yang pasti menjengah ke dalam kabin setiap kali pedal minyak ditekan keras.


Nadi Impul Latio Sport masih mengekalkan unit enjin bersesaran 1.6 liter, sama seperti model Latio Sport sedia ada. Walaupun dikatakan menerima talaan, namun prestasinya dirasakan tidak jauh berbeza.

Dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, prestasi keseluruhan Impul Latio Sport masih memuaskan, walaupun penulis sering beranggapan enjin 1.8 liter mungkin boleh menjadi taruhan lebih baik.


IMPUL nampaknya berjaya membuatkan model Latio Sport ini menjadi lebih eksklusif.


Penampilan model edisi terhad ini disempurnakan dengan kehadiran rim aloi Team Impul NS GT2 berwarna emas. Rim dengan diameter 17 inci ini hanya seberat 6.48 kilogram.

Tidak sekadar memenuhi kepuasan visual, rim ini sedaya upaya dibangunkan bagi mengoptimumkan tahap kawalan pemanduan menerusi rasa rigiditi stereng dan cengkaman di atas jalan raya.

Rim yang turut ditawarkan dengan warna perak ini disalut menggunakan tayar Dunlop dari siri Formula D 01. Jika dibeli secara berasingan, tayar ini berharga RM350 setiap satu, tidak termasuk kosbalancing dan alignment.


Tidak sah rasanya jika bercakap tentang jenama talaan andai tidak menyentuh tentang sistem suspensinya. Maka, jentera ini dipasang dengan sistem suspensi Impul Sports.

Direka selaku sistem suspensi berprestasi tinggi, ia meliputi penyerap hentakan dan pegas gegelung yang dibina khas untuk kenderaan yang direndahkan. Terasa agak keras, penumpang pasti merasa sedikit kurang selesa ketika ia melalui jalan tidak rata dan berlubang.


Namun, suspensi ini cukup cemerlang dalam menyediakan kestabilan pemanduan, terutamanya ketika mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Jarang sekali kereta ini mengalami masalah oversteer, sekali gus membuatkan sesiapa pun yang memandunya berasa lebih yakin.

Sewaktu pelancaran Impul Latio, Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), Datuk Dr. Ang Bon Beng berkata, pihaknya menetapkan sasaran jualan varian terbaru itu antara 100 hingga 200 unit sebulan.

Pelancaran itu juga menandakan bermulanya kerjasama antara ETCM dan Hoshino Impul Co Ltd yang berpengkalan di Jepun dalam menyediakan alat ganti berprestasi tinggi kepada ETCM.


IMPUL Latio Sport dengan\ spoiler\ yang sepadan dengan reka bentuknya yang \sporty\.


Bagi model Latio talaan Impul, hanya empat warna ditawarkan iaitu putih, hitam, kelabu dan perak. Harganya? Anda perlu menambah sebanyak RM10,500 berbanding harga asal sebuah Latio bagi mendapatkan semua kelebihan ini.


Pemilik Latio sedia ada boleh membeli aksesori Impul ini secara berasingan.

Bagi model yang dipandu uji ini, anda boleh memperolehnya pada harga sekitar RM105,000. Ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).


source:  kosmo online