Tuesday, August 26, 2008

KONGSI MODAL ELAK SKIM CEPAT KAYA

Kongsi modal elak skim cepat kaya - Kopraha muncul koperasi pertama terlibat pelaburan hartanah


PENGALAMAN berjaya dalam perniagaan pengangkutan menjadi asas Kopraha diwujudkan.


AWAL bulan ini, sebuah koperasi melakar sejarah apabila dibenarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menerima deposit orang ramai bagi pelaburan hartanah.


Ketua Pengawai Eksekutif dan Pengerusi Eksekutif Koperasi Pelaburan Hartanah Berhad (Kopraha), Datuk Nabil Abdul Kadir memberitahu, langkah itu dapat membantu masyarakat untuk lebih bijak dalam melabur sambil membuat tabungan.


Ketika diwawancara bersama wartawan AMREE AHMAD di pejabatnya di Setiawangsa, Kuala Lumpur, bekas kapten tentera ini menjelaskan, usaha dirintis itu mampu mengelak orang ramai daripada terpedaya dengan pelbagai skim cepat kaya.



KOSMO! AHAD: Bagaimana dapat idea menubuhkan Kopraha?

NABIL: Saya mula berminat mewujudkan sebuah koperasi sendiri sewaktu berkhidmat sebagai dalam Tentera Udara Diraja Malaysia antara 1985 hingga 1992 .

Selepas tamat kontrak perkhidmatan, saya ada buat kajian mengenai iktisad negara kita dan menjangkakan berlaku kegawatan ekonomi dunia selang 11 tahun. Waktu itu saya baru menubuhkan sebuah syarikat sendiri, Nakiwa Group Sdn. Bhd.


Namun daripada pemerhatian saya mendapati sektor koperasi adalah kurang terjejas dan hasil cambah minda sesama lembaga pengarah, saya mewujudkan Kopraha sebagai usaha pelbagaikan sumber dana syarikat kepada bidang koperasi.

Kenapa Kopraha diwujudkan?

Berdasarkan kajian trend pelaburan, saya terkejut mengetahui kaum Melayu suka melabur hingga RM80 juta sebulan untuk pelbagai skim namun 40 peratus daripadanya tersasar ke skim cepat kaya (SCK).


Ini termasuk golongan kaya dan profesional. Sebabnya pulangan rendah jika dilabur dalam institusi kewangan dan amanah. Justeru ramai melabur di koperasi kerana pulangan biasanya hingga 20 peratus dengan Bank Rakyat sebagai koperasi terbesar menjadi tanda aras sektor ini.

Ironinya, SCK kemudian tumbuh pesat apabila Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti suatu ketika melarang sebuah koperasi ternama mengambil deposit orang ramai kerana Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).



BIARPUN sibuk, Nabil (kanan) sempat mengadakan perbincangan dengan rakan bisnes lain.


Maka masyarakat cari SCK tanpa sedar mereka bakal ditipu dengan konsep pelaburan skim piramid atau jualan langsung pelbagai aras. Di sinilah peranan koperasi kerana asas penubuhan ialah bantu ahli dengan memberi kredit dan menabung.




Bagaimana bantu pelabur?

Mungkin ramai tidak tahu, Kopraha baru sahaja diberi kebenaran SKM mulai 5 Ogos lalu untuk mengambil deposit orang ramai bagi tujuan pelaburan sekali gus menjadi koperasi tunggal tidak tertakluk di bawah BAFIA dengan matlamat khas, mengelak masyarakat kita daripada terpedaya kepada SCK.

Ini kerana SKM ialah sebuah suruhanjaya di bawah Yang di-Pertuan Agong dan saya bangga biarpun tanggungjawab berat menarik minat orang melabur di koperasi namun masa sama beri pulangan tinggi.


Konsep kami ialah perkongsian modal ala Permodalan Nasional Berhad bantu masyarakat miskin melabur biarpun sedikit melalui skim amanah dan melaburkan wang itu menerusi pelbagai pelaburan sah.



Apakah syarat sertai skim Kopraha?

Asalkan warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas tidak kira kaum atau yayasan berdaftar dengan nilai pelaburan boleh daripada serendah RM1,000 sehingga RM5 juta. Tempoh pelaburan minimum 24 bulan dan maksimum pula 60 bulan.

Semua wang dikumpul dilaburkan kepada sektor hartanah berpotensi dengan Kopraha membeli dan menyewa kepada pihak ketiga. Akhirnya pelaburan dikembalikan dengan pulangan setiap tiga bulan.


Pelaburan ini bukan saja selamat tetapi pulangan tinggi bergantung kepada dana dipilih sama ada dana harta lelong yang pulangan 15 peratus setahun setiap tiga bulan atau dana harta sewa beli sebanyak 18 peratus setahun atau dana harta campuran 17 peratus setahun setiap enam bulan.



Apakah rancangan Kopraha lepas ini?

Kopraha beza daripada koperasi lain malah teras perniagaan ialah pelaburan hartanah. Justeru, tumpuan lebih kepada aktiviti pembelian, penjualan, penyewaan, pemajakan dan sebagainya selain memajukan hartanah bagi pembangunan lain.


Kami baru beli sebuah apartmen 50 unit di Cyberjaya, Selangor bernilai RM10 juta kerana ada potensi. Banyak lagi tempat lain diintai Kopraha demi faedah pelabur yang mencecah lebih 100 individu.


Kami mahu menjadi platform baru masyarakat menikmati pulangan tinggi pada risiko rendah. Jika berminat sila layari www.kopraha.com.my atau 03-42523881.


source: http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment