Wednesday, August 13, 2008

TANDA CHIKUNGUNYA

Sakit sendi tanda Chikungunya




PENDUDUK bergotong-royong membersihkan kawasan setelah penduduk dijangkiti wabak Chikungunya di Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram semalam.


KOTA TINGGI - Keresahan lebih 30 penduduk Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram di sini yang mengalami sakit sendi sejak Julai lalu rupa-rupanya ada kaitan dengan wabak Chikungunya.

Ketua kampung, Mohd. Saad Shamin, 56, berkata, walaupun penyakit itu tidak menyebabkan kematian namun penduduk bimbang ia mungkin merebak ke seluruh kampung itu jika tidak dikawal segera.


Menurutnya, pada mulanya ramai penduduk menganggapnya sebagai penyakit biasa tetapi mula mengesyaki sesuatu apabila semakin ramai diserang simptom yang sama.

Seorang penduduk yang baru pulih, Mohd. Amin Mohd. Yassin, 38, berkata, dia tidak dapat melupakan mengalami sakit sendi-sendi yang menjadinya lemah seluruh anggota, kesukaran bergerak, panas badan dan bintik-bintik merah dan gatal-gatal kulit.


"Sedangkan orang dewasa pun tidak tahan ini pula kanak-kanak... saya bimbang anak saya yang baru berusia sepuluh bulan akan dijangkiti penyakit yang sama," katanya ketika ditemui semalam.


Menurutnya, lebih menyedihkan kini anak perempuannya yang baru berusia lima tahun pula terkena jangkitan tersebut semalam.

Penduduk lain, Ramlan Padi, 38, berkata, selepas sembuh dari penyakit itu minggu lalu kini kakak dan jirannya pula terkena jangkitan itu.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba yang turut serta pada program tersebut turut membuat pemeriksaan kesihatan di balai raya kampung tersebut.

Beliau yang turut membuat lawatan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah menasihatkan penduduk supaya segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sekiranya mendapat tanda-tanda penyakit itu.


source: http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment