Friday, August 8, 2008

PENGENDALI BLOG DI TAHAN


Mahfuz kecam penahanan pengendali blog Penarik Beca


Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Aug 07, 08 | 9:15:05 pm MYT


KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mengecam tindakan polis menahan pengendali blog Penarik Beca sejak semalam, dan remannya disambung untuk sehari lagi.


Blogger Penarik Beca atau nama penuhnya Abu Bakar Mohd Rashid yang ditahan semalam, dilanjutkan tahanan satu hari lagi.


Tindakan ini kata Mahfuz menunjukkan betapa tidak cekap dan tidak profesionalnya polis dalam mengendalikan kes-kes seperti ini.

"Tindakan polis menahannya di rumah satu perkara yang tidak profesional, kerana polis boleh menghubungi Penarik Beca dan meminta beliau ke balai, ini pernah dilakukan ke atas pengendali web, Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin, dalam kes Penarik Beca polis sepatutnya bertindak seperti kes Raja Petra," ujarnya sebentar tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Mahfuz percaya pengendali blog tersebut adalah seorang yang berani justeru jPenarik Beca boleh datang ke balai untuk disiasat tanpa perlu penahanan dibuat.


Mahfuz juga kesal dengan tindakan polis yang tidak memaklumkan isteri mangsa sebab-sebab penahanan dan siasatan.

Mengulas lanjut penahanan itu Mahfuz mempersoal kewajaran polis melanjutkan penahanan Penarik Beca sedangkan sepatutnya pasukan itu boleh menyelesaikan sesi siasatan dalam masa sehari.

"Inikah yang dikatakan polis bersih cekap dan amanah, sedangkan dalam kes ini mereka tidak mampu menyelesaikan siasatan dalam tempoh sehari," katanya.


Beliau sekali lagi mengulangi pendirian bahawa penahanan tersebut adalah satu tindakan yang dilihat hanya untuk menutup kes tertentu yang akhirnya memangsakan pihak yang melaporkan.

Amat malang sekali jika penahanan sedemikian adalah bersifat untuk melindungi kepentingan pihak tertentu, katanya lagi.


Justeru beliau mendesak polis membebaskan segera tanpa sebarang pendakwaan ke atas pengendali blog terbabit.

Terdahulu, isteri pengendali blog terbabit, Salwa Abdul Samad mengesahkan kepada Harakahdaily suaminya ditahan untuk sehari lagi.


Menurut Salwa, suami beliau ditahan sepasukan empat orang anggota polis sejak kira-kira jam 11 malam Rabu, 6 Ogos di kediaman mereka di Taman Koperasi Polis dekat sini.

Peguam beliau, Mohamed Hanipa Maidin mengesahkan, Abu Bakar dibawa ke pejabat Bahagian Jenayah Perdagangan untuk disoalsiasat di bawah Akta Hasutan.


"Suami menghubungi saya, memberitahu beliau dilanjutkan tempoh tahanan untuk satu malam lagi, katanya polis hendak bersembang-sembang.


"Beliau dibawa ke mahkamah untuk dilanjutkan tahanan reman, tetapi ramai kawan-kawan yang menunggu tidak dapat berjumpa dengannya," kata Salwa. - mks.

articles source: http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment