Tauhu kering ‘kilang jijik’ dirampas

KAJANG – Sebanyak 11 bungkusan tauhu kering yang dipercayai hasil sebuah ‘kilang jijik’ dirampas daripada sebuah kedai di Cheras Utama oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam.
Rampasan itu dibuat ekoran bungkusan tauhu itu menggunakan logo halal yang sudah tamat tempoh iaitu sejak 2003.
Menurut sumber kementerian, rampasan dibuat untuk mendapatkan bukti supaya tindakan boleh diambil terhadap pengeluar makanan tersebut yang didapati menyalahgunakan logo halal.
Bagaimanapun tiada tindakan dikenakan kepada pemilik kedai berkenaan kerana sanggup memberi kerjasama.
“Disebabkan penjual memberi kerjasama, tindakan tidak diambil dan berdasarkan maklumat daripada bungkusan tauhu kering itu kita pergi semula ke kilang terbabit untuk memastikan ia dikeluarkan oleh kilang itu,’’ jelasnya kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! turut melakukan tinjauan semula ke kilang terbabit dan mendapati operasinya sudah dihentikan sementara beberapa pekerja melakukan kerja pembersihan premis.
Kelmarin Kosmo! mendedahkan aktiviti ‘kilang jijik’ yang didapati memproses produk makanan dalam persekitaran kotor serta menggunakan logo halal yang sudah tamat tempoh.
source: kosmo online
No comments:
Post a Comment