Sunday, September 14, 2008

IBADAH KURANGKAN TEKANAN

Ibadah kurangkan tekanan


PEPERIKSAAN yang jatuh pada bulan puasa mungkin meningkatkan stres kepada ibu bapa dan pelajar, tetapi ia perlu ditangani dengan cara tersendiri. – Gambar hiasan.


TEKANAN atau stres hidup sudah menjadi lumrah kehidupan zaman moden, yang dihadapi oleh semua peringkat umur, tidak kira jantina, bangsa dan agama.


Bukan hanya golongan dewasa yang dilimpahi stres di tempat kerja, rumah, jalan raya dan pergaulan masyarakat, malahan kanak-kanak juga dibelenggu pelbagai punca stres.


Stres merupakan satu tindak balas fizikal (badan), emosi (perasaan) dan mental (fikiran) kepada peristiwa dalam kehidupan. Ianya berlaku apabila wujudnya kerisauan atau rasa tidak selesa terhadap sesuatu peristiwa.

Memandangkan stres boleh berlaku di mana sahaja, mengikut keadaan tertentu, cara mengatasinya menjadi keutamaan.


Sepanjang Ramadan ini, kita berpeluang mengurangkan stres sedia ada dan mengelakkan penambahan stres dengan pelbagai cara, terutamanya meningkatkan ibadah, banyak bersabar dan mengawal tingkah-laku diri.


Semua stres

Pegawai Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khairulnissa Abdul Kadir menegaskan, stres bukannya satu jenis penyakit tetapi adalah tindak balas diri terhadap sesuatu kejadian.

“Sebagai contoh, harga minyak naik tetapi gaji tidak naik, boleh menyebabkan seseorang itu stres.


“Kanak-kanak juga boleh mengalami stres seperti ketika ibu bapa tidak membenarkannya membeli mainan,” katanya.

Menurutnya, semua orang mengalami stres tertentu tetapi tahap stres berbeza mengikut individu.

Tambahnya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berakhir Khamis lalu mungkin memberi tekanan kepada ibu bapa yang risau anak tidak larat menghadapi peperiksaan, dan pelajar pula mungkin stres menghadapi peperiksaan ketika bulan puasa.


Pada bulan Ramadan, stres sepatutnya berkurangan berbanding hari-hari biasa dengan peningkatan amalan beribadat, seperti solat tarawih, yang secara rohaninya dapat memberi ketenangan diri.


Namun, tiba pula musim perayaan, stres mungkin kembali meningkat seiring dengan pelbagai permintaan dan keperluan raya, terutamanya membeli keperluan raya (yang kadang-kala kurang perlu) dan semestinya duit raya untuk kanak-kanak (atau mereka yang fikir diri masih muda).

Khairulnissa menjelaskan tanda stres sepatutnya mudah dikesan, terutamanya oleh rakan yang rapat atau pasangan hidup.


‘‘Mereka yang tertekan biasanya kurang selera makan, kurang atau lebih tidur, letih atau lesu, perubahan tingkah laku dan kurang minat melalui aktiviti harian.

‘‘Bagaimanapun, tanda-tanda ini tidak hadir pada semua individu yang tertekan dan berbeza-beza mengikut individu terbabit,” ujarnya.


Mencari punca

Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, kita perlu mengetahui apa masalahnya dan apa puncanya terlebih dahulu. Oleh itu, untuk menangani stres, puncanya juga perlu dikupas dan difahami sebelum kaedah sesuai dapat ditentukan untuk mengatasinya.

Menurut Khairulnissa, antara punca stres adalah diri sendiri iaitu personaliti individu kerana ada sesetengah orang yang lebih mudah stres berbanding orang lain.

“Individu yang berperwatakan serius lebih mudah stres berbanding mereka yang ‘sambil lewa’ (happy go lucky).


“Oleh itu, personaliti diri perlu dikenali terlebih dahulu untuk menilai punca stres, terutamanya untuk mereka yang mempunyai masalah personaliti atau rendah harga diri,” jelasnya.

Katanya, stres juga mungkin datang dari punca luar seperti masalah rumah tangga, jiran kurang ‘berhemah’ dan pekerjaan.

Khairulnissa menjelaskan tempoh waktu bekerja yang lebih lama dari masa yang dihabiskan dengan keluarga mungkin meningkatkan tahap stres seseorang.


“Di bulan puasa dan menghampiri Hari Raya Aidilfitri ini, berjauhan dengan keluarga mungkin menyebabkan ramai yang stres kerana merindui orang tersayang.

“Stres juga boleh berlaku akibat kesesakan lalu lintas, kesukaran pulang ke kampung atau punca biologi seperti pesakit yang menghidap kanser,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pesakit (tidak kira apa jua penyakit) akan mengalami stres fizikal dan mental disebabkan penyakit itu, sementara keluarga pesakit pula akan mengalami stres kerana bimbangkan kesihatan orang tersayang.


Bagaimanapun, punca utama stres seringkali berkait rapat dengan duit dan kestabilan kewangan seseorang, terutamanya pada musim perayaan.


Menangani stres

Bukan hanya tahap dan tanda stres berbeza mengikut individu, malahan cara untuk mengatasinya juga berbeza mengikut kecenderungan individu terbabit.

Sesuatu yang agak pelik atau biasa bagi orang lain mungkin menjadi penawar bagi sesetengah individu mengatasi stres.

Khairulnissa menjelaskan tindak balas individu terhadap stres amat penting dan menjadi keutamaan bagi mengelakkan stres bertambah sehingga tidak dapat dikawal lagi.

“Teknik untuk mengawal stres berlainan mengikut individu, tetapi perlu ditangani secara positif. Pemikiran positif membolehkan kita melihat situasi dari sudut yang positif walaupun ia berbentuk atau bersifat negatif.


“Jangan dibiarkan stres terkumpul terlalu banyak kerana ia boleh membawa kepada kebimbangan (anxiety), dan seterusnya mungkin membawa kepada kemurungan,” tegasnya.

Menurutnya, jika stres dibiarkan mencapai tahap kemurungan, keadaan lebih sukar untuk dibantu dan mungkin memerlukan pengambilan ubat atau rawatan khas.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia juga mempunyai modul pengurusan stres tersendiri dengan ujian soal selidik (DASS) dan ujian personaliti untuk menentukan stres, kebimbangan dan kemurungan.


Selain itu, terdapat juga modul dari Kementerian Kesihatan bagi melatih remaja berfikiran positif, dan mengatasi tekanan rakan sebaya (peer pressure), terutamanya dalam mengikut aktiviti negatif seperti ponteng sekolah atau merokok.

Khairulnissa menjelaskan ketegasan diri juga bagus untuk menangani atau mengelakkan tekanan rakan sebaya yang negatif.

“Orang yang tegas diri, lebih tenang dan dapat mengawal stres dengan baik. Individu yang mempunyai ketegasan diri juga tidak akan mencabar hak orang lain,” katanya.

Tambahnya lagi, kemahiran komunikasi antara individu juga perlu dikuasai supaya sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan secara positif.


Pada waktu tekanan hidup memuncak, jaringan sosial dan peranan rakan yang rapat dan pasangan hidup amat penting.

Sekurang-kurangnya menjadi tempat meluahkan perasaan, rakan atau pasangan hidup dapat membantu seseorang mengurangkan stres.


Khairulnissa menyarankan mereka yang mengalami tekanan perlu berbincang atau berkongsi masalah dengan seseorang yang rapat dengan mereka.

“Rakan atau pasangan menjadi tempat yang baik untuk meluahkan perasaan tetapi jangan pula mereka, atau mana-mana pihak, dijadikan tempat melepaskan stres (geram) anda.

“Rakan dan pasangan juga dinasihatkan memberi sokongan pada waktu tekanan memuncak dalam hidup seseorang. Jangan pula menjadi penambah stres orang lain yang sudah cukup tertekan,” tegasnya.


Menurutnya, individu yang stres juga boleh mengurangkan tekanan dengan menonton televisyen (TV) atau mendengar radio.

Tambahnya, TV dan radio merupakan satu jaringan hubungan atau medium komunikasi yang memaklumkan kejadian di luar dan ini dapat membantu mengurangkan stres bagi sesetengah individu.

Bulan Ramadan dapat menenangkan hati dan minda selain perut kita. Dengan meningkatkan ibadat seperti solat sunat, tekanan dapat dikurangkan dan masalah yang dihadapi dapat dilupakan untuk seketika.


Khairulnissa bagaimanapun menegaskan ketenangan Ramadan tidak boleh dijadikan alasan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi, bagi mengelakkannya berpanjangan.

“Sebagai contoh, jika menghadapi masalah untuk balik beraya di kampung sendiri atau pasangan, eloklah dibincangkan daripada dibiar berpanjangan.

“Namun tidak dapat dinafikan, ibadah (agama apa sekalipun), bagus untuk menangani stres,” ujarnya.


Stres yang positif

Stres juga ada manfaatnya dan dalam keadaan tertentu menjadi satu keperluan. Hormon adrenalina yang dibebaskan ketika dalam keadaan tertekan bukan sahaja mempercepatkan denyutan jantung tetapi turut meningkatkan kepekaan deria badan.

Khairulnissa menjelaskan, pembebasan hormon tersebut turut meningkatkan prestasi badan, menjadikan kita lebih cergas dan pantas.


“Jika diambil secara positif, stres ada juga baiknya. Stres yang meningkatkan prestasi badan mungkin dapat memberi motivasi untuk bekerja lebih keras, terutamanya untuk ahli sukan yang perlu ‘pergi lebih pantas’ atau berucap di khalayak ramai.

“Namun, terlalu banyak stres dan hormon adrenalina juga tidak baik kepada badan. Jika tidak dapat dikawal, perkara yang positif ini akan menjadi negatif dan akan meninggalkan kesan jangka panjang kepada badan,” katanya.


Tahap, tanda dan cara menangani stres berbeza mengikut individu. Terpulang kepada individu itu sendiri dan orang di sekitarnya untuk mengenal pasti stres yang dihadapi, dan memilih untuk mengatasinya dengan cara yang positif.

Ramadan membawa ketenangan, tetapi tidak menghilangkan stres sepenuhnya. Amati cara terbaik untuk diri anda menangani stres, bukan sahaja ketika berpuasa, malahan bila sahaja stres melanda.


Anda masih stres? Jika anda masih tidak dapat mengawal stres diri dengan berkesan atau stres anda berpanjangan, sila hubungi doktor atau kakitangan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan berdekatan. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.myhealty. gov.my, www.infosihat.gov.my atau www.moh.gov.my.


source: utusan online

No comments:

Post a Comment