Thursday, September 4, 2008

LANCER EVOLUTION X

Lancer Evolution X agresif


Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


BERDASARKAN permintaan daripada peminat jentera berprestasi tinggi, Mitsubishi Motors Malaysia 'menghadiahkan' buah tangan terbarunya, Lancer Evolution X

Mitsubishi Evolution X adalah siri Lancer ke-10 yang mendapat sambutan hebat di seluruh dunia.

Selain itu, bentuk 'meruncing' pada bahagian hadapan umpama jet pejuang menyerlahkan lagi ciri sporty jentera berkenaan.

Model terbaru itu dijana enjin ringan 4B11 2.0 liter berkuasa turbo dengan teknologi MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve-Timing Electronic Control) Twin Scroll Turbocharged paling berkuasa dalam kelasnya.

Ia mampu menghamburkan sehingga 291 kuasa kuda pada 6,500 rpm dan tork 366Nm serendah 3,500 rpm.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Keizo Ono peningkatan kuasa jentera berkenaan disebabkan penggunaan blok aluminium yang lebih ringan dan tahan lasak.

"Dengan sejarah selama tiga dekad dalam arena perlumbaan, siri Evolution menjadi simbol kepada pembangunan teknologi Mitsubishi dalam dunia permotoran.

"Malah, Evolution X adalah model pertama dilengkapi kotak gear 'Twin Clutch SST' yang membolehkan penukaran gear automatik dilakukan secara manual," katanya.

Selain itu, jentera itu turut mendapat pengiktirafan tahap keselamatan tertinggi selain keluasan ruang kabin yang optimum.

Evolution X digambarkan sebagai sebuah kenderaan lumba yang membolehkan pemanduan di jalan biasa atau litar lumba tanpa perlu melakukan pengubahsuaian.

Antara ciri standard pada ahli keluarga Lancer terbaru itu adalah suspensi terbaru dengan sistem brek daripada Brembo, spring Eibach bersama penyerap hentak Bilstein, rim aloi 18 inci daripada BBS, lampu depan berteknologi HID, bumbung suria dan spoiler yang lebih lebar.

Ruang dalaman pula dihiasi dengan kerusi Recaro bagi pemandu dan penumpang hadapan; stereng bersalut kulit dengan kawalan audio dan kelajuan; paparan meter pelbagai fungsi, tujuh beg udara dan sistem audio bertenaga daripada Rockford Fosgate Premium.

Selain itu, Evolution X juga dilengkapi S-AWC (Super All Wheel Control), ACD (Active Centre Differential), AYC (Active Yaw Control), ASC (Active Stability Control) dan Sport ABS (Sport Anti-lock Brake System).

Dengan harga sekitar RM315,436.10 (tanpa insurans), Mitsubishi mensasarkan menjual 50 unit Lancer Evolution X sehingga akhir tahun ini.

Tiga warna ditawarkan iaitu merah metalik, hitam pearl phantom dan putih.


source: http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment